KOTA BHARU-Selepas PAS membuat arahan secara rasmi agar menyertai perhimpunan Bersih 3.0, kini Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula membuat seruan yang sama dengan berkata, hadir ke Bersih 3.0 adalah wajib.
Beliau menyeru seluruh rakyat di negara ini khususnya yang cintakan keadilan hadir pada program Bersih 3.0 (Duduk dan Bantah).
Menurutnya, menghadiri program itu suatu kewajipan memandangkan ianya diadakan untuk untuk menentang ketidakadilan khususnya terhadap proses pilihanraya di negara ini yang tidak selari dengan Islam.
“Mana-mana pihak yang melakukan perkara tidak berlandaskan Islam wajib kita tentang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily dan akhbar Harakah di pejabatnya di sini sebentar tadi bagi mengulas program yang bakal diadakan pada 28 April ini.
Tuan Guru seterusnya memberitahu, dalam lapan tuntutan Bersih, beliau hanya ingin mengulas satu iaitu berhubung pengundi hantu yang jelas ianya perbuatan kotor dan bercanggah dengan kehendak Islam.
“Andainya Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya akan datang dan mentadbir negara akan melakukan sebagaimana BN buat sekarang, setuju atau tidak sekiranya kami bawa pengundi hantu untuk kekal mentadbir negara pada pilihanraya berikutnya.
“Tentu saja Umno dan BN tidak mahu sebab perkara ini perbuatan mungkar yang tentu saja berdosa besar bila melakukanya,”ujarnya lagi.
Tambahnya, sekiranya mereka juga tidak boleh terima, kenapa sanggup adakan pengundi hantu dengan membawa masuk rakyat luar negara yang tidak ada kena mengena semata-mata untuk mengekalkan kemenangan.
Kerana itu, tambahnya ‘wajib’ rakyat di seluruh negara keluar beramai-ramai untuk menjayakan Bersih 3.0 pada 28 April ini dengan tujuan untuk menentang pengundi hantu di samping menuntut tujuh perkara lain.
Beliau seterusnya memberitahu, sekiranya wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya itu kerana dibantu oleh pengundi hantu, kemenangannya adalah ‘haram’ di sisi Islam.
“Malah segala alaun bulanan atau segala bentuk yang diperolehi sebagai wakilrakyat, gaji, kereta dan semuanya haram serta tidak sah di sisi Islam.
“Perkara ini bukan perkara main-main dan kena ingat Allah dan balasan akhirat,”ujarnya.
Pada masa yang sama beliau turut memberitahu mereka yang sanggup menerima tugas sebagai pengundi hantu juga haram, malah rezeki yang diberikan sebagai imbuhan juga haram.
“Duit yang digunakan dari hasil haram Allah tak akan terima, akhirat lagi kena azab, Allah ni bukan macam manusia yang langsung tidak bergantung pada kita,”ujarnya lagi.-harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan