Khamis, 5 April 2012

Dedah tanpa perkasa aqidah tak selesai murtad

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR:
Isu murtad tidak akan selesai hanya membuat pendedahan tanpa memperkasakan aqidah umat Islam, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Memberikan cadangan di Facebook beliau (https://www.facebook.com/ustaztitm), Tuan Ibrahim berkata kerajaan harus mewajibkan lulus mata pelajaran aqidah semua tahap pendidikan bagi pelajar Muslim dan mewajibkan pengambilan subjek pendidikan Islam bagi semua tahap peperiksaan.

“Di samping itu bimbingan saudara baru mesti ditingkatkan dengan setiap negeri mewujudkan pusat bimbingan saudara baru. Dana zakat mesti dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperkasakan aqidah umat Islam,” kata beliau.

Tuan Ibrahim juga menegaskan bahawa kemiskinan bukanlah sebab seseorang itu akan menjadi murtad seandainya pegangan agama dapat diperkasakan.

Mengulas mengenai kontroversi pendedahan video murtad dibuat Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai satu konspirasi menjatuhkan parti, Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata isu itu tidak akan membawa kesan kerana PAS bukanlah kerajaan persekutuan.

Tegas beliau, PAS tidak pernah melepas tangan dalam isu murtad, bahkan parti cuma tidak ingin melihat isu murtad dipolemikkan.

“PAS melihat sebagai perkara serius yang merupakan tanggungjawab bersama bagi menangani sebarang perkara berkaitan akidah orang Islam,” kata beliau.

Mengenai video pendedahan Hasan yang dikatakan sebuah rakaman daripada tahun 2002, beliau berkata Hasan sepatutnya mendedahkan lebih awal ketika beliau masih mempunyai jawatan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

“Mengapa baru sekarang ingin membuat tindakan sebegini?” soal beliau sambil menambah video tersebut juga mendedahkan kelemahan kepimpinan Hasan ketika itu, yang tidak mampu menangani perkara tersebut.

“Sepatutnya melalui pengakuan tersebut Hasan bertindak dengan segera bersama pihak berkuasa yang bertanggungjawab. Melalui rakaman tersebut mereka sudah boleh memanggil mereka yang terlibat untuk disoal siasat bagi mendapatkan penjelasan lebih lengkap dan tepat.

“Bukan dengan mencari jalan menunggu masa sesuai melakukan pendedahan lisan yang boleh mencetuskan kekeliruan,” katanya yang dipetik Sinar Harian.

Tiada ulasan: