Khamis, 26 April 2012

Datuk Bandar KL jangan angkuh- AMK

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail diingatkan tidak bersikap angkuh dengan cuba menghalang himpunan Bersih 3.0, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ia berikutan kenyataan Ahmad Fuad untuk mengambil tindakan keras sekiranya Bersih meneruskan hasrat mereka  berhimpun di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

“AMK menggesa agar Datuk Bandar tidak bersikap angkuh dengan siri-siri kenyataan yang hanya menunjukkan kegusaran mereka untuk berhadapan dengan ketidakpuasan hati rakyat,” katanya.

“Kenyataan Datuk Bandar ini jelas bersifat ‘mala-fide’, dalam keadaan beliau bersikap selektif dalam menentukan apa jenis program yang boleh dianjurkan di Dataran Merdeka.

Malah katanya, kenyataan Ahmad Fuad untuk menawarkan lokasi lain juga menimbulkan persoalan.

“Apa bezanya jika Dataran Merdeka menjadi lokasi? Mengapa perlu perubahan lokasi dicadangkan di saat-saat terakhir? Apakah mereka khuatir jika Dataran Merdeka menjadi saksi gelombang kuning kebangkitan rakyat menolak penyelewengan sistem pilihanraya Malaysia?,” Soal Shamsul.

Terdahulu sebelum ini, Ahmad Fuad menolak permohonan Bersih menggunakan Dataran Merdeka atas alasan ia bukan program bersifat nasional dan berteraskan politik.

Namun, Shamsul berkata, pada 27 Jun 2009, Dataran Merdeka menjadi medan pelancaran logo 1Malaysia, yang jelas merupakan kempen politik oleh Umno-Barisan.

Jika dibandingkan dengan Bersih, katanya, motif  himpunan itu adalah lebih jelas untuk memperjuangkan sistem pilihanraya yang adil dan telus di negara ini.

“Solidariti telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia di luar negara, malahan masyarakat antarabangsa seantero dunia turut bersama-sama menyatakan sokongan mereka ke atas Bersih 3.0,” katanya.

Tiada ulasan: