Ahad, 8 April 2012

BN Kelantan lancar gerakan penerangan besar-besaran

MALAYSIA KINI
Jentera pilihan raya BN Kelantan akan melancarkan gerakan penerangan secara besar-besaran bagi memperjelaskan isu semasa kepada rakyat, kata Timbalan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata gerakan itu yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat akan melibatkan semua parti komponen BN.

NONE"Kita akan bergerak sebagai satu keluarga besar sebagaimana yang diputuskan pada mesyuarat BN Kelantan yang dipengerusikan Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam," katanya kepada pemberita semasa melawat kawasan peti undi Melawi di Bachok hari ini.

Awang Adek yang juga timbalan menteri kewangan berkata antara isu yang akan diberi tumpuan termasuk kegagalan kerajaan Kelantan pimpinan PAS membekalkan air bersih kepada rakyat, ketidakadilan projek Ladang Rakyat dan penggadaian tanah rizab Melayu.

Katanya data mengenai perkara-perkara tersebut sedang dikumpulkan oleh satu jawatankuasa khas yang dijangka disiapkan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata jumlah bantuan kerajaan pusat kepada kerajaan negeri Kelantan termasuk yang melibatkan Majlis Daerah juga sedang dikumpulkan datanya untuk dinilaikan oleh rakyat.

Awang Adek berkata ramai tidak mengetahui bahawa kerajaan pusat telah menyalurkan peruntukan jutaan ringgit kepada setiap Majlis Daerah pada setiap tahun termasuk untuk projek pembangunan dan membayar gaji penjawat awam.

"Ini termasuk membayar gaji kakitangan profesional," katanya yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan dan Ketua Umno Bahagian Bachok.

Beliau berkata pendedahan itu penting untuk menghakis tuduhan liar yang dilemparkan pemimpin pembangkang bahawa kerajaan pusat menganaktirikan Kelantan selama ini. Bernama

Tiada ulasan: