SELAYANG : Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) digesa supaya segera mengentikan sikap pura-pura yang kononnya mendakwa mereka prihatin terhadap pembangunan infrastruktur di Selayang meskipun tidak lagi memerintah kawasan itu.
Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Selayang, William Leong kepada pemberita dalam satu sidang media khas di Jalan SJ3 di sini hari ini.
Ia merujuk kepada kenyataan Penyelaras Parlimen Selayang, Jessie Ooi dalam suatu akhbar baru-baru ini yang mendakwa kerajaan Umno-BN mengambil berat soal pembangunan di kawasan itu terutama urusan penurapan jalan.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyelaras BN itu seolah-olah menggambarkan segala penambahbaikan infrastruktur di kawasan itu dibuat atas seruan beliau. Tindakan dia (Jessie) membuatkan rakyat keliru siapa yang memerintah Selangor sekarang ini.
Projek untuk menurap jalan ini telah lama masuk dalam senarai dan akan dikaji sebelum dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Ini bukan kerja senang. Bukan boleh kata hari ini jalan lubang, esok MPS akan datang turap. Proses kerjanya adalah banyak,” jelasnya.
Menurutnya, pembangunan yang dikecapi oleh rakyat di kawasan itu adalah atas keprihatinan kerajaan negeri yang menyalurkan dana kepada setiap Dun dengan nilai RM 1 juta untuk tujuan pembangunan.
Beliau berkata, sejak PR mengambil alih pemerintahan di Selangor, kerajaan persekutuan telah menyekat segala bantuan yang sepatutnya diperuntukkan kepada kawasan terutamanya di Selangor.
Tambahnya, peruntukan RM2 juta yang sepatutnya diterima oleh setiap Ahli Parlimen bagi tujuan pembagunan di kawasan masing-masing juga gagal dilaksanakan kerajaan persekutuan.
“Segala projek dan pembangunan yang dibuat di kawasan ini adalah atas bantuan kerajaan negeri melalui peruntukan yang diberikan. Sejak tahun lalu, kerajaan persekutuan telah menyekat bantuan yang sepatutnya diberikan kepada Dun.
Saya sebagai wakil rakyat yang dipilih juga tidak menerima peruntukan RM2 juta seperti yang sepatutnya. Tindakan ini seolah-olah menafikan demokrasi rakyat yang mengundi serta memilih saya sebagai wakil rakyat semasa pilihan raya,” tegasnya.
Sementara itu, Penyelaras Dun Taman Templer, Mohamad Abd Rahman berkata, pelbagai pembangunan telah dilaksanakan menerusi projek berbentuk infrastruktur yang dikenali sebagai Marris.
Jelas Mohamad, Marris diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berdasarkan cadangan dan penyenaraian permohonan yang merujuk kepada keperluan masyarakat.
Antara projek yang telah dilaksanakan adalah seperti penurapan jalan raya dan menaiktaraf longkang di beberapa kawasan yang telah di kenalpasti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan