Sabtu, 21 April 2012

Aktivis Bersih ditangkap di Pulau Pinang

Oleh: Masdar Wahid


KUALA LUMPUR : Tan Hong Kai menjadi individu pertama ditahan berkaitan aktiviti anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) versi 3.0 apabila mahasiswa itu ditahan di Universiti Sains Malaysia (USM) pagi tadi.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Marian Chin Abdullah berkata, tangkapan itu berlaku ketika mahasiswa itu sedang menampal poster Bersih di USM.

“Anak muda ini didakwa menceroboh USM untuk menampal poster Bersih 3.0 dan beliau ditahan di balai polis Sungai Nibong, Pulau Pinang kira-kira 4 pagi tadi untuk diambil keterangan,” katanya dalam kiriman sistem pesanan ringkas.

Maria turut mengecam tindakan itu kerana kerajaan sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa aktiviti Bersih tidak menjejaskan keselamatan negara.

“Kami akan terus memantau rapat perkara seumpama ini,” katanya lagi selepas sidang media Bersih 3.0 di Dewan Perhimpunan Cina Selangor hari ini.

Perkara itu turut dinyatakan dalam facebook Bersih dan turut dikongsi pengguna internet.

Tiada ulasan: