Ahad, 15 April 2012

'BERSIH perlu yakinkan tak susahkan orang'

MALAYSIA KINI
Kerajaan tidak menyekat kemahuan mana-mana pihak untuk berhimpun secara aman asalkan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2011.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata antaranya mereka mesti memastikan perhimpunan tidak menyusahkan orang ramai selain perlu meyakinkan pihak polis bahawa perhimpunan yang bakal dianjur itu aman.

"Seperti BERSIH, kalau mahu lakukan (perhimpunan aman), mereka (penganjur perhimpunan) perlu yakinkan pihak polis mengenai apa dan di mana mahu berhimpun (agar) tidak susahkan orang ramai. Semua pihak terikat pada syarat yang sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan BN Pilihan Orang Muda, di Ipoh.

Beliau diminta mengulas mengenai permohonan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) semalam untuk berhimpun secara aman di Dataran Merdeka pada 21 April ini, bagi membantah usaha pihak tertentu menjayakan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender serta seks bebas di negara ini.

Mengenai tindakan sekumpulan mahasiswa berhimpun mendesak kerajaan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di ibu negara Sabtu, Hishammuddin berkata perkara itu adalah isu yang cuba dieksploitasi pihak pembangkang.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata Pergerakan Pemuda BN dan Pergerakan Puteri Umno perlu mewujudkan 'gelombang orang muda' di setiap negeri.

Beliau berkata masa depan negara adalah bergantung kepada tindakan golongan muda pada masa sekarang.- Bernama

Tiada ulasan: