Oleh: Mohd Aedi Asri
KUALA LUMPUR: Ahli Jawantakuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria
Chin Abdullah berkata, himpunan Bersih 3.0 akan diadakan di 47 bandar di
15 buah negara, dan bilangan itu terus bertambah.
Beliau memaklumkan perkara itu pada sidang media di Kelab Sultan
Sulaiman, sejurus usai rapat rakyat ’10 Hari Menjelang Bersih 3.0′
semalam.
Katanya lagi, penganjur Bersih 3 di Kuala Lumpur sudah memaklumkan polis akan himpunan itu pada 28 April.
Sementara di Sabah dan Sarawak, pihak polis di sana mengizinkan himpunan berlangsung di kedua-dua tempat itu, kata Maria.
Sasterawan Negara Datuk A Samad Said pada sidang media sama
menyatakan keyakinan perhimpunan Bersih 3.0 yang akan diadakan di
seluruh dunia ini akan berjaya menarik lebih daripada 500,000 peserta.
“Ini bukan sekadar gembar-gembur, tapi reaksi masyarakat yang kami
terima sebelum ini menjadikan kami berani menyatakan angka ini, dan
sudah pasti kita harap lebih lagi,” katanya.
Rapat rakyat ’10 Hari Menjelang Bersih 3.0′ semalam dianjurkan oleh
39 gerakan gerakan anak muda, yang bergabung untuk menunjukkan
solidariti bersama rakyat dalam perhimpunan Bersih 3.0.
Ia diadakan untuk mengumpulkan sokongan menjelang perhimpunan itu.
Puluhan tokoh Pakatan Rakyat dan NGO memberi ucapan, termasuk Pengerusi
Bersih 1.0, Syed Shahir Syed Mahmud, Timbalan Presiden PAS, Mohamad
Sabu, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Batu,
Tian Chua, dan penulis Hishamuddin Rais.
Pada sidang media sama, Ketua Perhubungan Awam Save Malaysia Stop
Lynas, Clement Chin membetulkan tanggapan sesetengah pihak bahawa
peserta Himpunan Hijau 3.0 yang diadakan bersama nanti akan mengadakan
perarakan.
“Kami berkumpul di perkarangan KLCC dahulu sebelum ke Dataran Merdeka, dan ia bukanlah satu perarakan.
Menjawab soalan wartawan berkenaan kebenaran polis, beliau mengatakan
himpunan hijau diadakan bersama Bersih 3.0, maka tidak perlu untuk
mendapat kebenaran berasingan.
Himpunan Bersih 3.0 ‘Duduk Bantah’ akan diadakan pada 28 April ini di
Dataran Merdeka bermula jam 2 petang. Ia diadakan untuk mendesak
kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membersihkan sistem
pilihan raya sebelum pilihan raya umum ke-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan