Hazayani Zakaria, | |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPM) menyokong himpunan Bersih 3.0 bagi menuntut reformasi pilihan raya pada 28 April ini dan bersedia mengerahkan semaksimum ahli untuk turut serta.
Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, DPPM bersedia membatalkan semua program melibatkan pemuda di peringkat negeri atau pusat bagi memberi laluan kepada Bersih 3.0 yang akan diadakan di Dataran Merdeka, jam 2 petang.
Namun katanya, DPPM tetap bersama pendirian PAS Pusat yang akan mengeluarkan kenyataannya petang ini.
"Pemuda akan mengerahkan semaksima mungkin ahli dan akan membatalkan semua program kawasan, negeri mahu pun nasional supaya mereka boleh bersama-sama Bersih 3.0.
"Walau bagaimanapun, pemuda bersama dengan pendirian PAS Pusat," katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Nasrudin juga menegaskan, "format" Bersih 3.0 dengan "Duduk Bantah" lebih dekat dengan rakyat dan tidak ada sebab rakyat takut untuk menyertainya.
"Format Bersih yang baru ini lebih lunak dan santai, jadi tidak ada sebab rakyat tidak mahu turun.
"Saya yakin format ini menjadi ibu kepada himpunan-himpunan selepas ini," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Bersih 3.0 sangat penting kerana lapan tuntutan rakyat ke arah penambaikan pilihan raya belum dilaksanakan kerajaan.
"Kita kena berusaha menjayakan Bersih 3.0 ini kerana kerajaan dan pihak betanggungjawab masih bersikap acuh tak acuh dan mempersenda tuntutan rakyat seperti pembersihan daftar pemilih dan akses kepada media yang adil," katanya.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan mengumumkan secara rasmi pendirian parti berhunung perkara ini pada jam 2 petang ini di ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan