Abdul Aziz Mustafa, | |
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini adalah perhimpunan rakyat yang tidak rela diperalatkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Hanya orang yang tidak siuman sahaja yang menuduh rakyat yang berhimpun dalam perhimpunan Bersih 3.0 diperalatkan oleh mana-mana pihak.
"Hakikat sebenarnya, ia adalah adalah perhimpunan rakyat yang tidak mahu lagi diperalatkan oleh Umno dan BN yang memperalatkan pilihan raya yang kotor dan tidak adil untuk terus mencengkam kuasa," tegas beliau.
Mahfuz meminjam kata-kata yang Sasterawan Negara, A Samad Said yang menegaskan bahawa beliau "bukan diperalatkan tapi dimanfaatkan".
"Tidak ada siapa yang diperalatkan, semua pihak yang terlibat dalam Bersih 3.0 merasa diri masing-masing dimanfaatkan bagi mencapai tujuan untuk memastikan pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Mahfuz yakin, rakyat yang berakal akan mentertawakan orang-orang tidak siuman yang menggunakan isu perkauman dan menyebarkan fitnah kononnya rakyat yang menyertai perhimpunan Bersih 3.0 diperalatkan.
"Dulu kumpulan itu jugalah yang menyebarkan dakyah kononnya mengundi calon-calon bukan Islam dari MCA, MIC dan Gerakan sama seperti mengundi orang Islam juga, iaitu sama seperti mengundi Presiden Umno.
"Dakyat itulah yang mereka tabur sejak zaman Tunku Abdul Rahman sehinggalah zaman (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kini," kata beliau.
Orang-orang Melayu, katanya, sudah meluat dengan dakyah basi yang penuh pembohongan itu.
"Mereka juga tidak tentu hala menuduh sana sini. Ada yang mengarut dan mendakwa rakyat yang menyertai perhimpunan Bersih diperalatkan oleh (Datuk) S Ambiga.
"Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk) Wan Ahmad Wan Omar pula menuduh Ambiga telah diperalat oleh pemimpin politik. Sekejap tuduh begitu, sekejap tuduh begini.
"Yang tak pernah mereka sebut ialah merekalah yang sebenarnya menjadi alat perkakas kepentingan peribadi para pemimpin Umno dan BN," kata Mahfuz.
Beliau juga melahirkan keyakinan rakyat yang waras dan tidak mahu diperalatkan Umno dan BN akan membanjiri Kuala Lumpur dan tempat-tempat perhimpunan Bersih 3.0 yang lain di seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan