Ahad, 8 April 2012

Anwar: Kekuatan raksasa untuk Bersih 3.0

Oleh: Sidiqin Omar

SHAH ALAM : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan untuk turun beramai-ramai ke Dataran Merdeka bagi menyatakan bantahan terhadap penipuan sistem pilihan raya, 28 April ini.

“Saya ulang, kali ini himpunan Bersih pada 28 haribulan, biar ada kekuatan raksasa di kalangan rakyat. Hentikan penipuan ini. Cukuplah!,” kata Anwar pada program ‘Rapat Rakyat Sempena 25 Tahun Pas Shah Alam’, di Stadium Melawati, semalam.

Dalam ucapan di hadapan kira-kira 1500 penyokong Pakatan Rakyat itu, Anwar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga kini gagal membersihkan daftar pemilih, termasuk pengundi meragukan.

Ia termasuk pertindihan nombor kad pengenalan, kewujudan lebih 100 pengundi pada satu alamat dan pengundi yang telah mati tidak dikeluarkan dalam daftar pemilih.

Perkara itu katanya menunjukkan kerajaan tidak berniat untuk menjalankan pilihan raya secara telus dan adil.

“Termasuk di Permatang Pauh pun, ada 123 nama (pengundi meragukan). Sampai begitu sekali. Inilah penipunya mereka,” kata Anwar.

Malah katanya, laporan minoriti yang dikemukakan wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi menambahbaik pilihan raya, juga ditolak.

“Sebab laporan (eseluruhan) PSC tidak menjelaskan secara terperinci. Macam mana nak adakan pilihan? Nak cakap, tak boleh. Nak bantah, tak boleh,” kata Ahli ParlimenPermatang Pauh itu.


Beliau memberikan contoh kira-kira 40,000 nama pengundi meragukan tidak dibersihkan SPR, sepertimana didedahkan oleh Mimos Bhd yang membuat semakan audit.

Dalam pada itu, Anwar mengarahkan jentera pilihan raya Pakatan Rakyat, bersiap sedia mulai sekarang bagi menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“Jangan pandang ringan. Dalam konteks pilihan raya di Malaysia, undi 51 peratus kepada kita belum boleh dikira menang.

“Kerja, usaha dan ikhtiar mesti dilebihkan. Tanggungjawab kita bukan sekadar pertahankan Selangor, tetapi menjadikan Selangor sebagai kubu menuju Putrajaya,” katanya.

Tiada ulasan: