Rabu, 25 April 2012

Amaran keras Datuk Bandar kepada BERSIH

Abdul Rahim Sabri

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail memberi amaran kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan penyokongnya bahawa tindakan keras akan diambil jika mereka meneruskan hasrat untuk berhimpun di Dataran Merdeka pada 28 April ini.

Bertegas dengan keputusannya tidak membenarkan Dataran Merdeka digunakan untuk perhimpunan tersebut, Ahmad Fuad menegaskan tindakan yang sama akan diambil sepertimana tindakan terhadap kumpulan mahasiswa anti-PTPTN yang 'berkampung' di tempat yang sama.

"Seperti (mahasiswa) anti-PTPTN, contoh yang sama juga kita akan ambil jika mereka melanggar undang-undang.

"Bila tiba masanya, tindakan akan kita ambil...Untuk menjamin keselamatan, kita serah kepada polis... Bagilah kita bekerja juga," katanya dalam sidang media selepas bertemu dengan delegasi BERSIH di pejabatnya hari ini.

Demo anti-PTPTN menyaksikan enam aktivis ditahan polis dan ada barangan mereka dirampas oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Pertemuan hari ini menemui jalan buntu apabila kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat berhubung lokasi alternatif yang dicadangkan.

BERSIH berkeras mahu tetap berhimpun di Dataran Merdeka, sebaliknya Ahmad Fuad mencadangkan mereka mengubahnya ke Stadium Merdeka - yang terletak kira-kira 1km dari situ.

Ditanya sama DBKL akan menghalang penyokong gabungan itu untuk berhimpun di situ, Ahmad Fuad berkata adalah menjadi tanggungjawab DBKL untuk menjaga Dataran Merdeka dan ia terikat undang-undang yang digunapakai sejak 1992.

"Kita akan berpegang kepada undang-undang yang ada. Dan Akta Perhimpunan Aman yang memberikan (keizinan berhimpun) di tempat-tempat yang tertentu. Tetapi tempat yang tak boleh, itu yang (mereka) nak masuk," katanya.

Ditanya sama Dataran Merdeka akan ditutup pada tarikh tersebut, Ahmad Fuad berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak tertentu termasuk pihak polis berhubung perkara itu kerana khuatir akan berlakunya "pertembungan" jika perhimpunan itu diteruskan di situ.

"Kalau berlakunya konfrantasi... Kita kata ia perhimpunan aman, sedangkan orang lain kata bukan perhimpunan aman, jadi ada dilema di situ.

"Jika berkaitan dengan ketenteraman, ia diserahkan kepada polis, kita akan menjaga tempat kita," katanya sambil menambah Dataran Merdeka merupakan tempat kedua popular yang dikunjungi pelancong.

Ahmad Fuad turut membidas rancangan BERSIH yang didakwanya memberi indikasi akan duduk di atas jalan sekiranya DBKL tidak memberi keizinan gabungan itu berhimpun di situ.

"Tadi kata perhimpunan aman... Saya tak fahamlah. Jangan bikin kerja susah (untuk) DBKL. Itu nampak gayanya tak berapa amanlah," katanya sambil menambah ia bakal menimbulkan kemarahan orang awam yang mahu menjalankan aktiviti harian mereka.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad mendakwa BERSIH cuba menimbulkan huru-hara kerana tidak mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

"Siapa yang (cuba) timbulkan huru-hara... kita beri alternatif, mereka tak beri alternatif," katanya.

Tiada ulasan: