Kehadiran NGO Amanah Merdeka yang ditunjangi oleh Tengku Razaleigh Hamzah dalam suasana politik negara yang gawat dan bercelaru seperti sekarang ini dirasakan mampu mencetuskan kesedaran serta perubahan minda yang besar kepada rakyat jika ia digerakkan dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana Amanah Merdeka sudah mula memperlihatkan penerimaannya yang positif daripada pelbagai pihak.
Sejak dilancarkan Julai tahun lalu, Amanah Merdeka tidak seperti NGO lain yang ditunjangi oleh orang politik yang biasanya sering menonjolkan diri di khalayak ramai sama ada melalui keghairahan muncul di media atau pun menyertai demonstasi berkaitan isu-isu tertentu. Amanah sebaliknya amat berhati-hati dan tidak mahu menjadikan dirinya sasaran lampu sorot media yang keterlaluan.
Pelbagai faktor menjadikan Amanah Merdeka sedemikian rupa. Amanah Merdeka bukanlah NGO yang mahu melompat dan memekik sesuka hati tanpa asas. Ia juga tidak perlukan publisiti dan populariti tanpa isi. Sebagaimana asas penubuhnannya ialah untuk menjunjung semangat kemerdekaan dan mempertahankan hak rakyat sebagaimana yang diperjuangkan oleh Tunku Abdul Rahman ketika menuntut kemerdekaan dahulu, Amanah Merdeka juga menentang amalan kronisme, nepotisme dan rasuah terutamanya dalam pentadbiran kerajaan.
Lantaran semangat perjuangannya yang tinggi itu, Amanah Merdeka dengan mudah menggamit minat ramai pihak. Meskipun Tengku Razaleigh masih bersama UMNO tetapi di dalam Amanah Merdeka terdapat kepelbagaian yang nyata. Di dalamnya ada orang UMNO, PAS, PKR, MCA, MIC, DAP dan pelbagai lagi. Anak raja, orang biasa, kakitangan kerajaan dan swasta, ahli sukan, seniman, karyawan, bekas Ahli Parlimen, ahli perniagaan dan pelbagai kelompok lagi semuanya ada dalam Amanah Merdeka. Ahli-ahli NGO lain juga ramai yang turut menambah keahlian dengan menyertai Amanah Merdeka atau ingin bekerjasama dengannya.
Pendek kata, keahlian Amanah Merdeka merentasi segala halangan politik yang selama ini memisahkan masyarakat kepada pelbagai kelompok dan hasrat perjuangan.
Jika dilihat daripada majlis sambutan Hari Keluarga Amanah Merdeka Selangor di Tanamera, Sungai Buluh, Ahad lalu yang turut dihadiri oleh Tengku Razaleigh, jelas sekali terpancar kepelbagaian dan keharmonian itu. Dengan dihadiri kira-kira 700 orang, didalamnya terdapat orang UMNO, orang Pas,PKR, DAP, MIC, MCA, DAP dan lain-lain parti politik. Makkal Sakthi dan Hindraff juga turut hadir dan menyatakan ingin bekerjasama dengan Amanah Merdeka. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang diketuai oleh Chegu Bard turut hadir bersama rombongannya dan sempat meluangkan masa bertukar-tukar fikiran dengan Ku Li.
Turut hadir ialah Presiden Amanah Merdeka Selangor, Mazlan Harun serta beberapa bekas Ahli Parlimen dan ADUN. Kehadiran dari pelbagai kaum dengan penuh harmoni seperti menjanjikan masa depan yang cerah buat Amanah Merdeka.
Dalam majlis tersebut jelas sekali terpancar rupa bentuk Malaysia yang sebenar dan dari wajah-wajah yang hadir tergambar pula harapan terhadap Amanah Merdeka ini agar turut sama memainkan peranan yang lebih aktif dalam menentukan corak pemerintahan negara. Amanah Merdeka seperti diletakkan harapan agar lebih kerap turun ke bawah menemui rakyat dan menjelaskan isu-isu yang sedang berlaku dalam negara sekarang.
Ku Li sendiri dalam ucapannya mengakui bahawa peranan NGO dalam sebuah negara seperti Malaysia menjadi semakin penting kerana melalu suara dan pandangan yang diluahkannya mampu mempengaruhi corak pemerintahan sesebuah kerajaan.
Tambah Ku Li lagi, dengan kerajaan mendengar segala tuntutan rakyat yang disuarakan melalui NGO seperti Amanah Merdeka, ia akan membantu kerajaan mengemukakan dasar-dasar baru yang lebih menguntungkan rakyat sebagaimana yang sudah lama menjadi amalan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat.
Apatah lagi, dalam konteks Amanah Merderka yang disertai oleh pelbagai parti politik dan NGO lain, tentunya peranan yang lebih besar sedang menunggu Amanah Merdeka kiranya ia digerakkan dengan bersungguh-sungguh serta penuh perancangan. Melalui penerangan dan penjelasan yang dilakukan oleh Aamanah Merdeka tehadap sesuatu isu yang sedang berlaku dalam negara, ia tentunya mampu membentuk pemikiran rakyat berkenaan sesuatu perkara itu.
Dalam isu rasuah, nepotisme, kronisme, pengurusan kerajaan, pilihanraya yang bersih dan sebagainya yang kini menjadi bualan dibibir hampir setiap orang, peranan Amanah Merdeka memberi penjelasan tentunya berupaya membentuk perspektif yang lebih jelas kepada rakyat. Lebih-lebih lagi Ku Li adalah tokoh besar yang sarat dengan pengalaman sejak zaman Tunku Abdul Rahman, jika hujah-hujah perbandingan dikemukakan oleh beliau antara pentadbiran sekarang dengan pentadbiran zaman Tunku Abdul Rahman atau Tun Razak dalam menjawab sesuatu isu atau kemelut yang sedang berlaku, ia akan lebih mudah difahami kenapa ia berlaku dan berlarutan sehingga menjadikan sokongan rakyat makin berkurangan.
Contoh yang jelas ialah kenyataan Ku Li tentang kesediaan Amanah Merdeka untuk bekerjasama dengan Bersih terutama dalam Perhimpunan Bersih 3.0 28 April ini di Dataran Merdeka asalkan kedua-dua pihak mempunyai matlamat yang sama. Pendirian Ku Li dan Amanah Merdeka ini jika menjadi kenyataan tentunya memberi impak yang besar kepada rakyat dalam perjuangan menuntut sebuah pilihanraya yang bersih dan adil kerana Amanah Merdeka disertai oleh pelbagai parti politik dan kelompok dalam mesyarakat. Ia juga akan menyedarkan rakyat bahawa pilihanraya yang bersih adalah hak dan keperluan sebuah negara yang merdeka.
Begitu juga dalam isu-isu lain, Amanah Merdeka boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam masyarakat. Dengan penerimaannya daripada hampir daripada semua pihak, kesediaannya untuk lebih kerap tutun padang bukan saja boleh membentuk pemikiran yang lebih jelas di kalangah rakyat, malahan dalam jangka panjang boleh juga menyatupadukan masyarakat untuk mencapai matlamat dan kepentingan bersama.
Penulis pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan