Khamis, 26 April 2012

Ada dalang dalam Umno cuba jejas imej MB

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

Adun Bintong Dr Md Isa Sabu


KANGAR - Ada pihak dalam Umno dipercayai menjadi dalang untuk menjejaskan imej Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu kononnya mungkir janji meluluskan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada 27 keluarga dari Kampung Padang Lincin dan Kampung Baru Syed Omar, Kurong Batang, Bintong.

Md Isa yang juga Adun Bintong berkata, ada “musuh dalam selimut”, yang cuba melakukan pelbagai cara semata-mata untuk menjatuhkan imej dan kredibilitinya sebagai Menteri Besar dan wakil rakyat sehingga sanggup mengupah penduduk untuk melakukan perbuatan seperti itu.

Menurutnya, isu itu sudah lama diselesaikan apabila tawaran permohonan TOL tanah di kedua-dua kampung itu ditarik balik pada awal tempoh  pelantikannya kerana ada usaha untuk menjualnya secara tidak sah kepada orang luar.

“Sebelum ini, penduduk kedua-dua kampung itu sememangnya dijanjikan status TOL bagi tiga lot tanah setiap penduduk dengan syarat, mereka membayar premium RM500 bagi setiap lot.

“Bagaimanapun, tawaran itu dibatalkan disebabkan ada unsur 'penjualan tanah secara tidak sah' kepada orang luar oleh individu tertentu,ia tidak wajar kerana kemudahan itu diberikan Kerajaan Negeri kepada kira-kira 10 penduduk asal,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan penduduk terbabit agar meluluskan permohonan TOL seperti yang dijanjikan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Penduduk Padang Lincin, Johari Hassan berkata, dua hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), Md Isa yang juga Exco Kerajaan Negeri dan calon Barisan Nasional (BN) kawasan Bintong berjanji akan membantu meluluskan status TOL jika menang.

Md Isa berkata, penduduk yang sudah membayar premium tanah bagi setiap lot boleh mengambil semula wang mereka di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perlis.

Beliau juga kesal dengan individu yang mengemukakan dakwaan itu kerana mereka tidak pernah mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

“Saya difahamkan individu bernama Johari tinggal di Arau dan bukan merupakan penduduk asal Kampung Padang Lincin.

“Jawatankuasa yang ditubuhkan juga bukan badan berdaftar dan hanya bertujuan mencetuskan provokasi yang didalangi pemimpin tertentu,” katanya.

Md Isa turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri menukar status tanah padang ragut di kedua-dua kampung itu kepada tanah kerajaan untuk membela nasib kira-kira 10 penduduk asalnya.

“Saya kecewa kerana ada individu tergamak menjual lot tanah yang ditawarkan itu kepada orang luar sehingga menyebabkan majoriti tanah lot di situ 'dimiliki' bukan orang tempatan.

“Saya percaya apa dilakukan Kerajaan Negeri adalah betul. Kepada individu terlibat jangan pandai-pandai menimbulkan isu yang bukan isu,” katanya.

Tiada ulasan: