Rabu, 25 April 2012

Abim seru pencinta kebenaran ke Bersih 3.0

Harakahdaily,     
 
 
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyokong penganjuran perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka.
Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, Abim menilai penganjuran Bersih 3.0 adalah manifestasi keprihatinan rakyat terhadap kelemahan tatacara pengendalian pilihanraya di negara ini.

“Pilihanraya adalah wahana untuk mengangkat pemimpin yang didokong oleh rakyat.

“Pilihanraya juga merupakan mekanisme berkesan dalam menguruskan perbezaan pendapat serta aliran politik dalam sesebuah negara secara harmoni sekiranya ia dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, tambahnya adalah amat penting institusi serta tatacara pengendalian sesebuah pilihanraya beroleh kepercayaan serta keyakinan yang tidak berbelah bagi dari rakyat.

Sehubungan itu, Abim menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) seharusnya mengambil sikap proaktif dan lebih serius untuk menangani sebarang aduan serta desakan yang dikemukakan oleh Bersih 3.0 serta masyarakat terhadap isu-isu berkenaan.

“Dalam hal ini Abim ingin mendesak SPR agar menngamati setiap tuntutan serta aduan yang dikemukakan seperti pembersihan senarai pengundi, penambahbaikan terhadap pengendalian undi pos, akses media yang saksama untuk semua parti di samping membendung budaya politik kotor dan ganas menerusi pengukuhan institusi-institusi awam yang berkaitan,” ujarnya lagi.

Menurutnya, SPR tidak seharusnya bersikap acuh tidak acuh dalam menangani sebarang aduan serta tuntutan yang dikemukakan, kerana ia merupakan manifestasi terhadap tingginya kesedaran sivil dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap hak politik mereka.

Beliau menegaskan, kegagalan berbuat demikian (menangani aduan serta tuntutan yang dikemukakan dengan sewajarnya) tidak sahaja akan membentuk persepsi negatif terhadap SPR, bahkan ia menafikan peluang untuk badan terbabit memperbaiki serta mengembangkan tatacara pengendalian pilihanraya yang lebih cekap dan berintegriti.

“Menilai suasana politik semasa yang banyak dipengaruhi dengan teka teki PRU 13 yang akan datang, Abim merasakan isu penambahbaikan pengendalian pilihanraya seharusnya diberikan keutamaan yang paling tinggi oleh SPR serta pihak-pihak yang berkenaan,” katanya.

Menurut Amidi lagi, kegagalan berbuat demikian hanya akan mengeruhkan suasana politik semasa serta bakal menjejaskan peranan PRU13 sebagai wahana pengurusan perbezaan pendapat serta aliran politik secara harmoni dan berkesan.

“Justeru, Abim menyeru setiap rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan agar sama-sama turun secara aman untuk menghadiri Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini, untuk sama-sama menzahirkan keprihatinan mereka terhadap masa depan negara yang tercinta ini,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: