Harakahdaily, | |
LONDON: Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anuar Ulhaq berjaya mengharumkan nama negara dan sekaligus meletakkan nama beliau sebaris dengan penyanyi Siti Norhaliza dan Sudirman Haji Arshad.
(Zunar menerangkan tentang kartunnya kepada pengunjung)
Mereka bertiga adalah artis yang sama-sama membuat persembahan di kota London. Namun, cerita Zunar tidak memenuhi dada-dada akhbar media tradisi kerana beliau bertembung dengan media jenis ini.
Kalau Siti dan Sudir menyanyi, Zunar pula membuat pameran solo kartunnya mulai 15 Februari semalam, mulai jam 6.45 petang di Free Word Centre, 60, Farringdon Road, London.
Pameran beliau berjudul "To Fight Through Cartoon" (Berjuang Melalui Kartun) dianjurkan oleh Article 19, sebuah NGO antarabangsa yang memperjuangkan kebebasan bersuara serta informasi.
Ini adalah pameran solo Zunar yang pertama. Sebelum ini beliau mengadakan dua pameran di Bilbao, Sepanyol bersama beberapa artis-artis lain.
Ia menampilkan 80 karya-karya kartun politik beliau yang dibahagi kepada empat kategori: Rosmah, Najib, Konspirasi terhadap Anwar dan Isu-isu semasa.
Pameran berlangsung sehingga 13 Mac dan dibuka dari hari Isnin sehingga Jumaat dari jam 9 pagi sehingga 9 malam.
(Orang ramai yang memenuhi ruang pameran kartun Zunar di London)
Penal jemputan semasa majlis pelancaran adalah Pengasas Radio Free Sarawak, Clare Rewcastle Brown dan Pengarah Eksekutif Article 19, Dr Agnes Callamard.
Kira-kira 100 orang terdiri dari rakyat Malaysia yang bekerja di London, pelajar Malaysia serta rakyat tempatan dan luar negara.
Program semalam bermula dengan ucapan oleh Agnes, Clare dan diikuti ucapan oleh Zunar. Clare kemudian merasmikan pameran.
Dalam ucapannya, Zunar antara lain berkata, Malaysia menghadapi krisis moral yang parah dengan korupsi, penyalahgunaan kuasa, pembaziran dan pelanggaran hak asasi.
Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk bangun menentang rejim zalim yang telah memerintah negara ini selama 54 tahun, katanya.
"Adalah satu kesalahan moral kepada kita untuk berdiam diri. Mari kita bersama-sama bersatu dan berjuang. Sebagai kartunis ini adalah sumbangan kecil saya dalam perjuangan ini," kata Zunar.
Bagi Zunar, penahahan beliau di bawah Akta Hasutan menunjukkan bahawa melukis kartun di Malaysia adalah satu kesalahan jenayah.
"Apabila melukis kartun menjadi jenayah, kekuasan rejim mula goyah," katanya.
Dalam ucapannya, Clare pula berkata, "Saya suka melihat karikatur Zunar terutama mengenai Rosmah dan Taib Mahmud. Saya menghargai keberanian beliau. Ia memerlukan orang-orang yang berani untuk menjatuhkan sesebuah rejim yang zalim."
Menjawab soalan dari peserta mengenai bagaimana beliau mendapat ilham, Zunar berkata:
"Untuk mendapat idea tidaklah begitu susah kerana saya tinggal di Malaysia. Ahli-ahli politik di Malaysia menyediakan idea-idea lucu kepada saya setiap hari.
"Perdana Menteri, isteri beliau dan ahli-ahli kabinet nampak bijak sehinggalah mereka membuka mulut. Apabila mereka membuka mulut, saya boleh mula membuka buku lakaran saya," katanya diikuti gelak ketawa para hadirin.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui memuji langkah yang diamnil Zunar.
(Sebahagian orang ramai yang memenuhi Free Word Centre, London dalam majlis pelancaran pameran kartun Zunar)
"Saya segera membuat pendaftaran untuk hadir sebaik saja saya mengetahui mengenai pameran ini. Kebetulan saya sedang bercuti di London. Bagi saya, Zunar adalah salah seorang dari dua lagenda kartunis selain Dato' Lat," kata Amir, seorang pegawai kerajaan dari Malaysia.
Robin, jurutera komputer dari Belgium. "Saya rasa kartun Zunar adalah sangat berkesan sebab ia membolehkan orang ramai memahami isu-isu politik secara lebih mendalam dan kerana itu ia merupakan ancaman kepada kerajaan (Malaysia)."
Andrew Tynan, pengurus IT di London pula berkata, "Saya melawat Malaysia berberapa kali dan mempunyai teman di Malaysia yang sering menceritakan situasi politik di Malaysia. Melalui kartun Zunar, saya lebih memahami politik di Malaysia sekarang."
Adil Johan, pelajar di King’s College, London pula berkata: "Saya tidak takut untuk datang - saya merupakan peminat Zunar sejak sekian lama. Apabila saya melihat lukisan beliau di pameran ini, ia adalah ekspresi artistik yang luas dan apabila saya melihat lebih lanjut, ia memberi mesej dan makna yang tersirat sangat mendalam. Sebab itu saya suka kartun beliau."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan