PUTRAJAYA - Pengerusi Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita) Kedah, Zamil Ibrahim sanggup menggalas amanah mengetuai parti itu jika Presidennya, Datuk Zaid Ibrahim merasakan tidak lagi mampu menerajui pertubuhan itu.
“Saya berani jamin, akan ada ramai lagi tokoh tertentu akan menyertai Kita jika Zaid tidak ada dalam parti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Malah, beberapa pengerusi peringkat negeri juga sebulat suara melahirkan pendirian tidak bersetuju dengan Zaid yang semalam mengumumkan akan membubarkan parti itu.
Sehubungan itu, mereka juga mendesak agar Zaid mengundurkan diri secepat mungkin jika merasakan tidak lagi mampu menerajui parti.
Mengulas lanjut, Zamil memberitahu, EGM yang dimaksudkan tidak perlu diadakan dan jika Zaid mengakui tidak mampu menerajui parti, adalah lebih baik keluar dari parti secara terhormat kerana ada orang lain yang sukarela boleh menerajui parti.
"Mengapa beliau (Zaid) perlu merosakkan parti sedangkan selama ini kami di peringkat negeri menjaga parti dengan baik walaupun parti Kita ini kecil sahaja.
"Kami terkilan kerana keputusan ini dibuat oleh beliau hanya melalui media tanpa merujuk dahulu pimpinan negeri-negeri," katanya.
Pendirian tidak bersetuju dengan Zaid dilahirkan oleh pemimpin Kita dari Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Sabah.
Hadir sama, Pengerusi Kita Johor, Dr Mohd Zaid Mohd Yusof; Pengerusi Selangor, Azmi Selangor dan wakil wanita tunggal Selangor, Rahayu Wakiman. Suara pemimpin Pulau Pinang dan Sabah diwakili oleh Kedah dan Johor.
Semalam, Zaid berkata, akan membubarkan parti itu untuk menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa mereka tidak memihak kepada pembangkang.
Menurut Zaid, Kita akan dibubarkan menerusi mesyuarat luar biasa (EGM) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Pengerusi Johor, Dr Mohd Zaid Mohd Yusof pula mahukan satu Jawatankuasa Eksekutif Pusat bagi mengkaji punca sebenar yang menyebabkan Zaid membuat kenyataan itu.
“Kenyataan beliau (Zaid) dilihat lebih bersifat peribadi dan hanya menyatakan hasrat itu melalui media tanpa merujuk kepada asas penubuhan serta kehendak perjuangan parti.
“Kami di Johor merasakan seolah-olah wujud unsur-unsur politik yang terselindung di sebalik kenyataan beliau itu,” katanya.
Tambah beliau, keputusan Zaid untuk membubarkan parti akan dipertimbangkan dengan sewajar-wajarnya demi kepentingan parti terutamanya yang memberi sokongan di peringkat akar umbi.
Menurut Azmi, kepimpinan Kita di Selangor akan tetap meneruskan perjuang mengembangkan parti itu.
“Kami tidak akan bersama Zaid (bubar parti) ataupun bersama Barisan Nasional (BN), selagi BN masih tidak menghapuskan salah guna kuasa yang melibatkan rasuah yang berlaku.
“Malah kami juga tidak akan bersama Pakatan Rakyat (PR) jika parti itu tidak dapat membetulkan ketirisan yang berlaku di peringkat negeri-negeri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan