Isnin, 20 Februari 2012

Tindakan JKKK Rampas Tanah SRIDB DiAdu Kepada SPRM

Wartawan Buletin

Ada asas dan bukti penyalah gunaan kuasa pihak terbabit


KUALA TERENGGANU - Isu lima Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rampas tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB), di Kampung Mak Tagar Paka, Dungun, semakin panas

apabila ADUN Paka, Zakaria@Ariffin Abdullah muncul pada sidang media bersama 5 JKKK yang menjadi penama tanah terbabit.

Dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel dekat sii, 14 Februari lalu, Adun Paka terbabit telah meminta Penasihat Lembaga pengarah SRIDB, Ustaz satiful Bahri Mamat menarik balik dakwaannya bahawa beliau telah lari ke Resience Resort Paka semasa hari demonstrasi.

Zakaria juga mendakwa SRIDB masih dibangunkan diatas tanah kerajaan dan masih berstatus haram, bahkan, beliaumendakwa tanah yang diberi kepada JKKK tidak terlibat dengan tapak SRIDB.

Ekoran dakwaan Zakaria, pihak Jawatankuasa Bertindak Tanah SRIDB semalam Ahad 19 Februari telah membawa kes tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai satu penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin Umno dan JKKK.

Laporan kepada pihak SPRM Cawangan Terengganu telah dibuat pada jam 11 pagi di pejabat Suruhanjaya itu, tingkat 10 Wisma Persekutuan.

Dua orang yang mewakili SRIDB terdiri dari Penasihat SRIDB, Ustaz Satiful Bahri Mamat yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah SRIDB, Norul Alazhar Ali dan Pengetuanya, Che Wan Mustaffa Che Wan Kaman.

Menurut Ustaz Satiful Bahri, dalam pertemuan selama tiga jam itu, pihak SPRM telah mencatat percakapan dan mengambil keterangan mereka.

Beliau berkata laporan dibuat kepada pihak SPRM kerana terdapat kekeliruan serta keraguan dalam pemilikan tanah SRIDB oleh lima orang JKKK Limbong.

Katanya, pihak SRIDB mempunyai asas kukuh serta bukti-bukti untuk dinilai oleh pihak SPRM bahawa berlaku penyalahgunaan kuasa pihak terbabit.

“Kita mempunyai bukti yang tanah (SRIDB) ini terlebih dahulu dimiliki oleh kita secara lessen TOL (Lesen Menduduki Sementara) yang pernah dibayar sebanyak dua kali.

“Apabila bertukar kerajaan, pihak SRIDB tidak lagi dibenarkan untuk membayar lessen kerana dibekukan oleh kerajaan Umno-BN ketika itu,” jelasnya.

Sepatutnya, kata Ustaz Satiful pihak berkenaan terpaksa melalui beberapa prosedur dalam proses pemilikan tanah kerajaan sebelum disahkan oleh pejabat tanah.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah SRIDB, Norul Alzahar Ali menegaskan isu rampasan tanah SRIDB oleh lima orang JKKK Kampung Limbong akan dibawa kemuka pengadilan.

Katanya, selain saluran rundingan, memorandum dan perbincangan akan dilakukan juga termasuk tindakan perundangan.

“Pihak warga sekolah (SRIDB) termasuk para ibu bapa dan pendokong Islam akan mempertahankan tanah itu dari dirampas. Kita hanya mempertahankan hak kita dari anasir yang zalim,” ujarnya.

Menurutnya, kelima-lima JKKK terbabit iaitu pertama, Rosli Hashim merupakan JKKK Kampung Cacar yang memperolehi lot tanah bernombor PT9829. Kedua, Suhaini Abd. Karim (isteri Naib Pengerusi JKKK Limbong) dengan lot tanahnya PT9830. Ketiga, Abd Ghani Muda (PT9831) JKKK Limbong. Keempat, Ibrahim Abdullah (PT9832) Pengerusi JKKK Limbong dan kelima, Mohamad Idris (PT9833) yang juga JKKK Limbong.

Beliau berkata, isu itu bermula apabila tanah berstatus Lesen Menduduki Sementara (TOL) milik Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) di Kampung Kolam Mak Tagar, Jalan Santong, Paka atas lot PT 15024 tiba-tiba menjadi milik lima orang JKKK Limbong.

Katanya Keluasan asal tanah di SRIDB tersebut 15425 meter persegi yang menempatkan bangunan induk sekolah, dua bangunan kelas pengajian, sebuah surau, rumah guru, kantin serta padang sekolah.

Oleh itu, menurutnya, bagaimana Adun Paka boleh mendakwa bahawa tanah yang diberikan kepada 5 JKKK tidak termasuk tanah SRIDB, sekiranya tanah yang diluluskan kepada SRIDB hanya tinggal seluas 6882 meter persegi sahaja. (Rujuk Gambar Pelan Asal tanah SRIDB (A) dan pelan kini (B) dibawah)

Pada 12 Februari lalu, satu demontrasi aman telah diadakan bermula di perkarangan SRIDB dan berarak ke Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka sejauh 1.5 kilometer bagi menyerahkan memorandum membantah rampasan tanah tersebut.

Tiada ulasan: