Rabu, 8 Februari 2012

Syabas Aziz Bari sertai politik

MALAYSIA CHRONICLE


SYABAS! Dan dialu-alukan jika benar Prof. Aziz Bari mahu menyertai politik yang aktif setelah dibersarakan oleh UIAM.

Prof. Aziz sebenarnya sudah pun berpolitik secara bebas sebagai seorang akadamis cuma tidak terjun ke dalam arena parti politik yang aktif.

Dia tidak teragak-agak menyatakan pandangan menegur perkembangan baik terhadap pembangkang, apa lagilah terhadap kerajaan dan pemimpinnya.

Banyaknya teguran itu adalah terhadap kerajaan dan UMNO kerana pihak itu memang banyak salah silapnya.

Ada juga beberapa kerat orang akadamik berpolitik sepertinya tetapi kebanyakan mengkritik pembangkang. Mereka membisu terhadap UMNO dan kerajaan tetapi tidak kikir untuk membidas pembangkang. Politik mereka boleh dikira mengampu.

Tetapi Aziz tidak mengampu walau pun dia rapat dengan PAS. Semua masih ingat Aziz pernah membuat beberapa teguran kepada Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang.

Dia memilih untuk menjadi pemerhati dan pengkritik. Oleh kerana alam kampus tidak diberi pilihan untuk mengkritik kerajaan, maka politik pasif Aziz itu pun diberi tindakan bersara dari jawatannya.

Aziz dikenakan musibah. Diberhentikan. Musibah itu adalah atas izin Allah juga. Tidak berlaku kalau tidak diizin Allah. Allah mengujinya melalui peraturan zalim universitinya. Ia adalah takdir. Setiap takdir terhadap orang beriman mesti dihadapi dengan bersabar.

Kalau Aziz Bari dapat menerima musibah itu dengan berkata Alhamulillah dan Inna lilah waina ilaihi rojiun, nescaya sebuah banglo disediakan Allah di syurga.

Ujian musibah itu bergantung tahap iman Prof. Aziz. Jika tebal iman, teruk ujiannya. Jika nifis, ujiannya ringan atau tidak diuji langsung.

Tidak pilihan buat Aziz melainkan bersyukur atas ujian itu. Bersabar. Menyertai politik itu adalah dalam rangka reaksi sabar itu. Bukan bersabar berdiam diri, menyesali atas kerja baiknya selama ini dan merayu atau minta ampun atas kesalahan yang tidak dilakukan.

Mana parti politik yang akan disertai Aziz? Ketika ulasan ini dibuat, dia belum membuat pilih antara parti Pakatan Rakyat yang dikatakannya melamarnya.

Jika saya ditanya, saya akan kata pilihlah politik yang ada jihad sesuai dengan ujian yang Allah takdirkan terhadapnya.

Itulah pandangan yang saya tidak sempat beri kepada Anwar Ibrahim ketika dia mula dilanda musibah politik dan kemanusiaan paling perit sejak berbelas tahun lalu. Saya hendak beritahu dia, sertai PASlah kerana dalam PAS itu ada jihadnya.

Semua orang beriman yang diuji Allah mestilah menerimanya dengan mendekatkan diri kepada Allah. Antara politik yang dekat kepada Allah ialah PAS. Kerana disamping matlamat politik Islamiyahnya, ia ada matlamat dakwah.

Inilah baru saya tulis hal ini. Saya sekeluarga ada ke rumah Anwar untuk menyampaikan pandangan ini, tetapi tiada ruang dan peluang.

Kalau Aziz rasa sudah terpanggil untuk terjun dalam politik yang aktif sebagai tanda syukur dan bersabarnya, maka dia mesti terjun dalam politik yang membuat banyak kerja untuk Islam.

Itulah yang Almarhum Necmattin Erbakan, pemimpin ulung parti Islam Turki bagitahu kepada Abdullah Gul yang bekerja dalam syarikat kewangan di Saudi masa itu. Baliklah ke Turki bekerja untuk Islam. Abdullah Gul pun balik berjihad politik bersamanya, dan sekarang Abdullah Gul ada Presiden Turki.

Dalam politik dan jihad tiada janji indah. Bahkan akan banyak ujian lagi. Mungkin buat Aziz Bari yang terjun ke situ akan menemui ujian lebih berat dari yang dihadapinya di UIAM. Itulah yang dihadapi oleh semua yang menyertai PAS. Ramai yang berjaya tetapi ada juga yang tercicir.

Kedatangan Aziz dalam politik menjelang PRU 13 penuh cabaran ini adalah suatu yang dirasakan untung buat Pakatan. Tetapi percayalah politik paling manis bagi orang Islam ialah politik Islam. Pada Islam politik itu manis. Yang menjadikannya pahit ialah manusia. Dalam politik Islam saja manusia tidak mati katak.

Apa pun Aziz Bari tetap diberi sambutan dalam politik melalui mana-mana parti pilihannya.Harakahdaily

Tiada ulasan: