Khamis, 9 Februari 2012

Soal kerusi Zaid terserah kepada PAS - Nik Aziz

MALAYSIA CHRONICLE


KOTA BHARU-Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau tidak boleh membuat sebarang keputusan berhubung parti melainkan pihak PAS Pusat sendiri.

Katanya, begitu juga cadangan berhubung Presiden KITA Datuk Zaid Ibrahim, bertanding atas tiket PAS pada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang di Kota Bharu.

Nik Aziz berkata ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar harian hari ini yang bertajuk ‘Zaid ditawar calon kerusi PAS’ melalui kenyataan Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Pulau Pinang, Tan Tee Beng.

Tee Beng mendakwa Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu telah memujuk Zaid untuk bertanding atas tiket PAS.

“Saya tidak boleh membuat sebarang keputusan sendiri, PAS Pusat yang akan menentukannya, saya tidak boleh buat,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Sambutan Hari Suami Isteri 2012 Negeri Kelantan, di Balai Islam Lundang, hari ini.

Ikon Keluarga Mawaddah

Terdahulu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan isteri Datin Tuan Sabariah, mendapat penghargaan Ikon Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan.

Beliau dipilih berdasarkan kejayaannya melayari bahtera ‘perkahwinan’ bersama selama 50 tahun hingga dianugerahkan 10 orang anak dan bakal menyambut kelahiran cucu yang ke 57 pertengahan tahun ini.

Cenderahati penghargaan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar.

Sementara itu seramai 10 pasangan telah terpilih mendapatkan cenderahati masing-masing antaranya Adun Limbongan Drs Zainuddin Awang Hamad dan isteri Mariah Ibrahim.

Mereka dipilih kerana keserasian sebagai wakilrakyat yang sering bersama ke mana sahaja terutama menghadiri program kerajaan negeri dan turun ke bawah. -Harakahdaily

Tiada ulasan: