Nasrudin bin Hassan,
[ pencerahan ]
1. Valentine's Day bukan dari ajaran dan syiar Islam. Menetapkan 14 Feb saban tahun sebagai hari sambutannya juga tiada dalam Taqwim Islam. Justeru itu tidak berbangkit langsung soal keharusan ummat Islam menyambutnya saban tahun. Lagikan sambutan Maulud Nabi saw terdapat khilaf yang besar di dalam Islam, inikan pula sambutan Valentine's Day.
2. Apa yang saya tulis di Sambutan Hari Kekasih adalah mengenai cara meraikan kekasih hati, samaada bagi mereka yang berada di ambang perkahwinan atau yang telahpun mendirikan rumahtangga.
Meraikan kekasih hati dengan syarat , adab dan akhlak yang saya nyatakan adalah dibenarkan oleh Islam. Inilah juga antara modul yang terdapat dalam Lajnah atau biro Baitul Muslim Jamaah Islam.
3. Justeru, ia tidak kena mengena dengan Valentine's Day. Saya juga telah tegaskan Islam tidak menetapkan tarikh tertentu untuk meraikan kekasih hatinya. Ia boleh dilakukan pada bila - bila masa dengan memastikan 3 adab dan akhlak Islami dilaksanakan iaitu :
a] tidak berdua - duaan kecuali ditemani mahram
b] tidak mendedahkan aurat apatah lagi berpakaian seksi
c] tidak melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama.
4. Ertinya saya sedang mengemukakan alternatif agar anak - anak muda muslim tidak perlu terpengaruh dengan budaya dan syiar agama lain. Sebaliknya Islam mempunyai kaedah tersendiri dalam membina rasa cinta dan menyemai benih kasih.
5. Matlamat tidak menghalalkan cara sebagaimana cara yang salah tidak boleh dilakukan biarpun untuk mencapai matlamat yang baik. Justeru itu, cara jangan bertentangan dengan syariat dan matlamatnya pula mestilah berasaskan syariat Allah swt.
Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan