Selasa, 7 Februari 2012

RM1 bilion dibelanjakan untuk DUN Pantai Manis

MALAYSIA KINI
Kerajaan membelanjakan hampir RM1 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan bagi Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Manis sejak 15 tahun lepas, kata wakil rakyatnya, Datuk Abdul Rahim Ismail.

Beliau berkata peruntukan yang besar daripada kerajaan persekutuan dan negeri, membawa manfaat yang besar kepada rakyat, terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman dan nelayan di kawasan pantai yang berhampiran.

Abdul Rahim berkata ini termasuk pembinaan sekolah, menaik taraf Hospital Papar, bantuan kepada orang miskin dan nelayan, pengindahan bandar Papar selain prasarana asas yang lain.

Ini, katanya, membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk menjaga kesejahteraan penduduk Pantai Manis.

"Nyatalah peruntukan yang besar itu melenyapkan tanggapan bahawa kerajaan BN tidak berbuat apa-apa bagi manfaat penduduk Pantai Manis," katanya kepada Bernama, di Papar hari ini.

Menyuarakan puas hati dengan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan di kawasan berkenaan, Abdul Rahim, bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, berkata perancangan lebih besar sedang diatur untuk terus memajukan Pantai Manis sebagai hab kecil pendidikan di masa depan.

Beliau berkata tanah seluas kira-kira 48 hektar berdekatan pantai di Pantai Manis telah dikenal pasti untuk tujuan itu.

"Kami harap suatu hari nanti Pantai Manis akan muncul sebagai hab kecil pendidikan bagi kawasan pedalaman bawah di Sabah. Kami ingin melihat kampus cawangan universiti dan kolej turut dibangunkan di sini.

"Ini adalah wawasan saya bagi penduduk Pantai Manis," katanya.

Abdul Rahim berkata perancangan turut dibuat untuk membangunkan kawasan seluas 40 hektar berhampiran tapak hab kecil pendidikan yang dicadangkan itu merangkumi pelbagai bentuk projek perumahan demi manfaat rakyat.

"Kami akan cuba berbincang dengan Petronas mengenai cara merangka strategi untuk melaksanakannya. Jika projek ini menjadi kenyataan, saya percaya ia bakal menukar wajah kawasan pantai di Pantai Manis sebagai sebuah destinasi pelancongan beserta hab pendidikan yang baru," katanya, dan menambah ini adalah bagus buat penduduk Pantai Manis daripada segi limpahan faedah.

Abdul Rahim berkata beliau yakin kerajaan BN, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengilhamkan konsep 1Malaysia, akan menunaikan janji, termasuk memajukan lagi kawasan Pantai Manis.

Tiada ulasan: