Sabtu, 4 Februari 2012

Presiden PAS akur keputusan bertanding PRU13

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk tidak dicalonkan dalam Pilihan raya Umum ke-13 sama ada di peringkat Dun atau Parlimen dan membuat keputusan bahawa beliau perlu bertanding di PRU13.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat lujnah politik yang diadakan pada 2 Februari di Pejabat Agung PAS.

“Tuan Guru Presiden turut akur dengan keputusan tersebut.

“Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRU ke-13,” ujarnya dalam satu kenyataan.

PAS, katanya bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am, bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat.

Beliau menambah, walaupun jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Tuan Guru Presiden terus memimpin bahkan para pemimpin tertinggi PR juga telah mengeluarkan kenyataan meminta Presiden PAS terus menerajui PR.

“Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Tuan Guru Haji Hadi untuk memimpin parti,” jelasnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Malah, ujarnya dengan kepercayaan gerakan Islam Antarabangsa kepada Tuan Guru Abdul Hadi bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan muslim agung abad ini.

“Hasrat beliau yang lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam yang tinggi memperlihatkan bahawa dalam PAS, jawatan bukanlah perkara yang direbut, tetapi ianya adalah amanah.

“Islam mengajar kita agar tidak meminta jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan diri bila mana jamaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus memimpin,” jelas Tuan Ibrahim lagi.

Tiada ulasan: