Rabu, 1 Februari 2012

Perkasa: Tunggang terbalik Najib

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yang pernah mempertahankan agenda pertubuhan ultra kaum Perkasa dengan menganggap kumpulan itu bukan pelampau ekstrem, kini menganggap badan itu tidak ada kena-mengena dengan UMNO.

Sebelum ini, Perdana Menteri yakin bahawa Perkasa menyokong UMNO yang dipimpinnya atas alasan kumpulan kaum itu menyedari bahawa hanya UMNO mampu menjaga kepentingan orang Melayu.

Itu kata-kata Najib dalam wawancara bersama Al-Jazeera sempena setahun pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri pada April 2010.

Sekarang Najib mahu menjauhkan diri daripada Perkasa dalam isu pemberian paket ang pau berwarna putih oleh Perkasa yang dianggap membawa sial dan telah menghina kaum Cina sempena Tahun Baru Cina.

Menurut laporan media, Perdana Menteri tidak mahu mengaku mempunyai apa-apa kaitan dengan Perkasa dan tindakan kumpulan itu memberi ang pau paket putih kepada orang ramai termasuk orang Cina baru-baru ini.

Najib dilaporkan menganggap pemberian ang pau paket putih itu tidak ada kena-mengena dengan kerajaan UMNO-Barisan Nasional atas alasan Perkasa adalah pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpinnya Datuk Ibrahim Ali pula adalah Ahli Parlimen bebas.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, walau pun kedudukan Ibrahim Ali kononnya bebas, beliau sentiasa menyokong UMNO dan BN dalam usaha menentang serta memfitnah DAP dan Pakatan Rakyat.

“Lebih dari itu, pemimpin UMNO dan BN sentiasa menyokong Perkasa, hadir di majlis-majlis pertubuhan itu, dan turut menerima pakai pandangan-pandangan (Perkasa) dalam dasar-dasar negara.

“Malah, MCA sendiri telah didedahkan membantu Perkasa apabila ketua cawangan MCA Sri Desa yang juga ahli jawatankuasa MCA Bahagian Seputeh Dr Tiew Chew Meng dilaporkan berucap bagi pihak Perkasa dengan memberitahu orang ramai bahawa Perkasa berjuang untuk semua kaum, serta membawa orang ramai hadir ke majlis Perkasa itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menambah bahawa Allahyarham Datuk Dr Zainal Aznam selaku Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan (MPEN) yang menggubal Model Ekonomi Baru (MEB) pernah dilaporkan menyalahkan kerajaan BN kerana tunduk kepada Perkasa dengan menggugurkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Peluang Saksama yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada MEB.

Menurutnya, amat jelas sekali bahawa Perkasa mendapat sokongan kepimpinan UMNO dan BN serta lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, yang membolehkan kumpulan ultra kaum itu bebas melakukan ugutan dan hasutan yang menimbulkan ketegangan kaum. – Roketkini.com

Tiada ulasan: