Isnin, 13 Februari 2012

Penyenaraian sebabkan Felda defisit RM1.5 bilion

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) di bursa saham, bukan sahaja ditentang peneroka, malah turut mendapat bantahan kira-kira 23,000 kakitangan Felda seluruh negara.

Menurut Pengerusi ANAK, Mazlan Aliman, kos operasi Felda mencecah kira-kira RM2 bilion pada 2010, yang akan menyebabkan Felda mengalami defisit RM1.5 bilion, jika penyenaraian itu berlaku.

Ditanya mengenai proses penyenaraian itu, Mazlan berkata Felda akan memastikan perjanjian pajakan tanah ke atas Felda Plantation seluas 360,000 hektar kepada FGVH berjaya dilakukan.

Menurutnya, pada asalnya tanah tersebut sepatutnya diberi kepada peneroka baru Felda tetapi dasar itu dibatalkan dan diserahkan di bawah pengurusan Felda Plantation yang mendapat pulangan RM2 bilion setahun.

“Tiba-tiba tanah yang mendatangkan hasil lumayan dipajakkan kepada FGVH untuk tempoh 99 tahun. Sewa pajakan hanya RM251 juta setahun, jauh lebih rendah daripada nilai pendapatan yang diperolehi Felda Holdings sebelumnya.

“Kononnya penyenaraian akan mendapat untung. Sebenarnya, FGVH akan diberi 15 peratus keuntungan daripada harga semasa pasaran minyak sawit kira-kira RM2,900 setan. Itu pun jika harga pasaran setinggi itu, sekiranya tidak, bagaimana?,” soal beliau dalam satu temubual dengan Suara Keadilan.

Kedua katanya, Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang memiliki 220,000 saham bernilai RM1.46 bilion akan diserap ke dalam FGVH, menyebabkan kedudukan kewangan Felda goyah.

“Sekurang-kurangnya 10 anak syarikat KPF akan dilupuskan. Ambil contoh, salah satu anak syarikat yang berdaya maju iaitu Palm Industries, kilang kelapa sawit yang mana peneroka menghantar kelapa sawit ke sana untuk diproses.

“Sekarang peneroka yang memproses kelapa sawit melalui Felda dan menghantar ke kilang itu mendapat pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

“Bagaimanakah jika anak syarikat ini tidak beroperasi dengan baik? Inilah bahaya yang akan menanti Felda dan para peneroka. Bukan sahaja tidak ada jaminan pendapatan meningkat, pendapatan sedia ada pun akan terjejas,” jelas beliau.

Selepas Felda diambil alih FGVH, katanya, pendapatan Felda hanya melalui dua sumber yang jumlahnya kira-kira RM508 juta.

“Saya yakin 23,000 kakitangan Felda tidak puas hati. Selepas diambil alih FGV, Felda akan menjadi boneka. Ladang-ladang yang mereka uruskan selama ini akan diuruskan oleh FGV.

“Itu belum lagi caruman yang dibuat oleh kakitangan KPF yang tidak menentu keadaannya apabila pengambilalihan berlaku,” ujar beliau.

Tiada ulasan: