Rabu, 8 Februari 2012

PAS Titiwangsa terus berbakti walau tanpa MP

Hazayani Zakaria,

KUALA LUMPUR-
Komitmen PAS Titiwangsa dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai tidak pernah padam walaupun selepas kematian Ahli Parlimennya (MP), Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali pada Julai tahun lalu.

Tanpa wakil rakyat, PAS Titiwangsa dilihat tidak tenggelam dalam mengenengahkan isu-isu penduduk di Parlimen tersebut khususnya isu pemilikan hartanah Kampung Baru yang telah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu.

Selepas pemergian Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo', Parlimen Titiwangsa dijadikan 'parlimen angkat' oleh tiga Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Mereka bertiga bertanggungjawab memantau perkembangan di Titiwangsa termasuk meneruskan perjuangan Allahyarmuha Dr. Lo' Lo' membawa suara penduduk Kampung Baru ke Dewan Rakyat.

Organisasi PAS Titiwangsa dimantapkan dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa di Kampung Baru dipastikan terus berperanan sebagai tempat rujukan penduduk di parlimen itu.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad diamanahkan sebagai Penyelaras Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa, ahli jawatankuasa Lajnah Kebajikan PAS Pusat, Mohd Yusoop Abd Hamid sebagai Pengurus Pusat Khidmat dan di bawahnya ketua pemuda dan muslimat serta setiausaha perhubungan Wilayah Persekutuan.

Menurut Mohd Yusoop atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Yusoop, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa di Kampung Baru tidak pernah sunyi menerima kedatangan orang ramai atas pelbagai urusan.

(Gambar: Cikgu Yusoop bersama pimpinan PAS Titiwangsa santuni warga marhaen.)

Sehubungan itu, pejabatnya beroperasi seperti biasa dan dijaga oleh petugas tetap setiap hari.

"Pusat khidmat masih beroperasi seperti biasa dan orang ramai datang seperti biasa bagi mendapatkan bantuan seperti mendapatkan pengesahan borang-borang tertentu walaupun tanpa wakil rakyat di sini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau juga berkata, wakil-wakil di empat zon iaitu Pandan, Dato Keramat, Desa Rejang dan Kampung Baru masih komited dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan termasuk wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS hasil hubungan yang baik dengan Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo' dahulu.

"Setiap zon masih aktif dengan program masing-masing malah semakin rancak.

"Wakil bukan Islam pun masih setia bersama PAS dan banyak membantu dalam menyalurkan maklumat mengenai masalah-masalah orang bukan Islam di parlimen ini," katanya.

Tambahnya, PAS Titiwangsa juga meningkatkan fokus terhadap program pendaftaran pemilih dengan membuka kaunter semakan dan pendaftaran pemilih pada setiap hujung minggu secara bergilir-gilir mengikut zon.

Selain itu, PAS Titiwangsa juga menjadikan program Sebersih iaitu pemberian bantuan barang keperluan dapur sebagai program berkala di setiap perumahan awam (PPR) yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

"PAS bekerjasama dengan sebuah NGO menjalankan program Sebersih kepada golongan memerlukan kebanyakannya di PPR.

"Di kawasan Titiwangsa banyak PPR yang perlu diberi perhatian, jadi memerlukan komitmen yang tinggi dari sudut tenaga dan kewangan," katanya.

Isu PPR agenda penting selain Kampung Baru

Cikgu Yusoop berkata, masalah pemilikan PPR masih menjadi masalah utama di kalangan penduduk walaupun isu ini telah berkali-kali dibawa kepada kerajaan.

Kebanyakan penduduk masih menyewa dan tidak mampu memiliki unit sendiri kerana harganya yang tinggi.

(Gambar: Petugas Pusat Khidmat Masyarakat MP Titiwangsa menerima aduan rakyat.)

"Isu Kampung Baru memang PAS ada sekretariat sendiri tanpi selain itu isu PPR masih menjadi masalah utama dan kita sering terima aduan.

"Contohnya di Desa Rejang, penduduk dipindahkan ke PPR dari flat Pekeliling yang kononnya untuk dibangunkan tapi sehingga hari ini masih belum selesai," katanya.

Beliau juga berkata, peniaga di Dato Keramat juga membuat aduan mengenai perniagaan kian merosot setelah berpindah ke Keramat Mall.

Selain tempat yang tidak strategik, DBKL juga mengenakan sewa yang mahal.

"Peniaga barang basah di Keramat Mall mengadu perniagaan mereka bermasalah.

"Tempat tak strategik dan reka bentuknya juga kurang sesuai untuk jualan barang basah seperti ikan dan sayur-sayuran," katanya sambil menambah, peniaga lebih selesa berniaga di Pasar Keramat yang mempunyai kedudukan yang strategik iaitu berhampiran stesen LRT dan masjid.

Perbezaan sebelum dan selepas pemergian Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo'

Meskipun PAS Titiwangsa tetap aktif selepas ketiadaan Allahyarhamuha, Cikgu Yusoop tidak menafikan Allahyarhamuha memiliki kelebihan tersendiri yang sukar dicari ganti.

"Memang Allahyarhamah mempunyai sentuhan peribadi yang berbeza dengan masyarakat.

"Sampai sekarang pun orang ramai yang biasa berurusan dengan dia akan cakap mereka rasa kehilangan dan mahukan wakil rakyat seperti itu," katanya.

Tambah beliau, selepas pemergian Allahyarhamuha, PAS Titiwangsa mengalami sedikit kesukaran berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tiada suara yang kuat.

"Hubungan dengan DBKL susah sikitlah sekarang ini sebab kita tak ada suara yang kuat untuk berbicang dengan DBKL.

"Kalau dulu Allahyarhamah berurusan terus dengan DBKL, kalau nak minta khemah ke peralatan untuk program senanglah," katanya lagi.

Namun begitu katanya, perkara itu bukanlah satu halangan untuk PAS Titiwangsa bekerja kuat bagi mempertahankan kemenangannya pada pilihan raya umum ke-13.

Tiada ulasan: