Khamis, 16 Februari 2012

PAS konsisten, bukan Islam semakin faham

Aziz Muda,


KUALA LUMPUR:
Sokongan orang ramai terhadap PAS ternyata semakin memberangsangkan sejak kebelakangan ini, apabila dianggarkan seramai 100 hingga 200 orang rakyat negara ini telah menjadi ahli parti itu dalam sebulan.

Dengan sokongan baik itu menjadikan jumlah ahli PAS di seluruh negara sekarang telah bertambah secara beransur-ansur sehingga mencecah sejuta orang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, penerimaan orang ramai terhadap PAS sejajar dengan peningkatan kefahaman rakyat negara ini mengenai dasar perjuangan parti itu yang berbeza dengan parti-parti lain di tanah air.

Menurutnya, sejak ditubuhkan hingga sekarang malah hingga selamanya, PAS tetap konsisten dengan dasar perjuangannya untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di negara ini dan sekiranya berubah hanyalah pendekatan-pendekatannya sesuai dengan keperluan masa dan keadaan.

Katanya, realiti itu berbeza sama sekali dengan Umno yang berjuang atas dasar sekular dan perkauman, sehingga menyebabkan munculnya pelbagai masalah di dalam parti itu dan masyarakat yang menjadi semakin kronik dan gagal diselesaikan dengan baik.

"PAS pula berjuang untuk mengajak orang ramai mentauhidkan Allah, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran yang dimulai dengan diri sendiri dan terhadap masyarakat," katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui, di sini.

Matlamat penubuhan PAS, menurutnya, bukanlah berpaksikan politik semata-mata, tetapi adalah untuk menyampaikan mesej Islam kepada orang ramai.

Katanya, perkara itu sejajar dengan kedudukan PAS sebagai gerakan Islam yang berjuang untuk mendaulatkan Islam di muka bumi ini yang mengatasi kepentingan peribadi setiap pemimpin dan ahli-ahlinya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu menegaskan, perjuangan PAS tidak akan terhenti walaupun cuba dihalang dengan pelbagai cara oleh pihak pemerintah sejak awal penubuhannya.

"Berkat kesungguhan dan keikhlasan para pemimpin dan ahli-ahli PAS dalam menyampaikan mesej perjuangan kepada orang ramai, perjuangan PAS kini sudah semakin difahami oleh orang ramai termasuk di kalangan bukan Islam," jelasnya.

Dalam usaha menarik orang ramai agar menyertai PAS, beliau mengingatkan setiap pemimpin dan ahli-ahli parti itu agar tetap berdiri di atas pendekatan yang betul dan berkesan.

"Untuk menarik sokongan orang ramai, kita dalam PAS ada uslub kita sendiri. Pengalaman saya, jika berceramah, sekiranya kita hanya menyampaikan ceramah politik, ia tidak akan berjaya menarik sokongan orang ramai kepada PAS.

"Cara terbaik adalah dengan menyampaikan mesej Islam kepada orang ramai menerusi ceramah kita itu. Cara ini ternyata cukup berkesan dan lebih menepati matlamat penubuhan PAS itu sendiri," jelasnya.

Beliau berharap agar seluruh pemimpin PAS akan turut menggunakan pendekatan tersebut dalam setiap ceramah mereka kerana dengan mendidik orang ramai dengan pendidikan Islam akan dapat menyedarkan orang ramai tentang kewajipan mereka menyokong gerakan Islam, terutama di kalangan orang Islam sendiri.

"Hanya menerusi pendidikan Islam yang akan dapat mengubah orang jahat kepada baik. Dengan itu, jika kita menyampaikannya dengan ikhlas kepada Allah, apa yang kita lakukan itu akan dinilai sebagai ibadat dan diberikan pahala oleh Allah sehingga berterusan walaupun kita telah meninggal dunia.

"Selain dari menyampaikannya menerusi ceramah, perkara itu juga perlu dilakukan oleh para penulis dan wartawan dan itulah bezanya antara penulis atau wartawan Harakah dan Harakahdaily dengan wartawan-wartawan akhbar lain terutama akhbak milik Umno atau BN," tegasnya.


Tiada ulasan: