Rabu, 8 Februari 2012

Pakatan serah memorandum, gesa KWSP kaji pinjaman RM1.5 bil

Oleh: Norutul Ilham

KUALA LUMPUR 8 Feb: Pakatan Rakyat hari ini menyerahkan memorandum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung keputusannya membiayai pinjaman kepada pembeli rumah kos rendah.

Ahli parlimen Pakatan yang terdiri dari Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Tony Pua (Petaling Jaya Utara) dan Dr Dzulkifli Ahmad (Kuala Selangor), turut menggesa Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman supaya mengkaji semula dan menolak cadangan berkenaan.


Tony Pua berkata, pada 2010, kerajaan mengumumkan terdapat sembilan bank komersil yang sepatutnya meluluskan pinjaman kepada pembeli yang layak.

Sebaliknya, kata beliau, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin baru-baru ini mengumumkan penggunaan wang KWSP sebanyak RM1.5 bilion bagi tujuan itu.

“Beliau (Nong Chik) sebelum ini menjelaskan pinjaman ini tidak diberikan secara langsung kepada pembeli-pembeli rumah kos rendah, pinjaman ini akan diberikan terus kepada pihak kerajaan dan pihak kerajaan memberi jaminan sebanyak 2.67 kali ganda jumlah pinjaman,” kata Pua.

Beliau mempersoalkan mengapa syarat ketat diterima KWSP, sedangkan bank komersil sendiri tidak bersedia memenuhi syarat pembiayaan berkenaan.

Sementara itu, Nurul Izzah yang senada dengan kenyataan Tony Pua berkata, kerajaan tidak menyatakan perincian bagaimana wang KWSP digunakan bagi membiayai pinjaman perumahan.

“Secara teknikal penjualan (rumah) boleh diluluskan sebelum perjanjian dimeterai antara kerajaan dan KWSP, bayangkan dalam suasana ini sekiranya wang rakyat dibazirkan,” ujarnya.

Dr Dzulkefly Ahmad pula menyatakan KWSP sebelum ini hanya bersetuju memberikan pinjaman RM300 juta sahaja bagi menjamin keselamatan wang pencarum.

“Kami dimaklumkan bahawa jumlah pinjaman tidak dapat tahap RM1.5 bilion seperti yang diumumkan pihak menteri. Buat masa ini hanya RM300 juta sahaja diperuntukan demi kepentingan pencarum-pencarum,” katanya.

Tiada ulasan: