Jumaat, 10 Februari 2012

Nik Aziz restui Salahuddin ke Johor tumbangkan BN

MALAYSIA KINI

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub kemungkinan besar akan bertanding di Johor pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Harakahdaily, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, walaupun keberatan tetapi bersedia melepaskan pemimpin itu sekiranya Johor memerlukan beliau.

NONEAkhbar rasmi PAS itu berkata Nik Aziz (kiri) yang juga Mursyidul Am parti berkenaan berkata, pucuk pimpinan parti bersedia memberi laluan kepada Salahuddin untuk bertanding di negeri Johor yang juga tempat kelahirannya sekiranya ahli parlimen Kubang Kerian itu lebih diperlukan di sana.

"Saya sedia lepaskan dia (Salahuddin) bertanding di sana (Johor), jika PAS Johor betul-betul perlukan khidmatnya,” katanya.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Mahfodz Mohamed mencadangkan supaya Salahuddin dibawa bertanding di negeri itu.

Nik Aziz juga dipetik berkata dengan perpindahan Salahuddin itu juga dapat mengukuhkan lagi kedudukan Pakatan Rakyat yang semakin diterima masyarakat di negeri itu.

“Apa-apa pun biar PAS Johor berbincang dahulu dan tentukannya.

“Jika itu adalah untuk kemenangan parti, kita kena lepaskannya,” katanya.

NONESalahuddin (kanan) lahir di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian dan mendapat pendidikan awal di sana sebelum melanjutkan pelajarannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Sains Pembangunan Manusia.

Beliau menang kerusi parlimen Kubang Kerian pada pilihan raya umum 2004 dan pada 2008, berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 10,642 undi

Harakahdaily juga memetik Nik Aziz berkata, di samping akur kepada keputusan pucuk kepimpinan beliau juga memberi ruang kepada Salahuddin bertanding di mana-mana kerusi yang bersesuaian.

Tiada ulasan: