Rabu, 15 Februari 2012

NFC: Menteri sahkan pecah amanah, namun tiada tindakan- Guan Eng

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang didakwa menyalahguna dana National Feedlot Corporation (NFCorp).

Beliau berkata, pihak berkuasa juga gagal mengambil sebarang tindakan meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengesahkan NFCorp telah melakukan pecah amanah dan melanggar syarat pinjaman mudah kerajaan.

“Rakyat Malaysia kini menuntut untuk tahu mengapa SPRM dan pihak polis tidak bertindak terhadap mereka yang bertanggungjawab, apabila menteri undang-undang sendiri menyatakan skandal RM250 juta projek lembu dan kondo NFC merupakan pecah amanah,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Pada 22 Disember lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentuk pasukan siasatan yang diketuai Pengarah Siasatan, Datuk Mustafar Ali bagi menyiasat skandal itu.

Manakala Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Syed Ismail Syed Azizan juga memberitahu pihak polis telah menyelesaikan siasatan dan menyerahkan semula kertas siasatan mereka kepada peguam negara.

“Dalam erti kata lain, telah banyak siasatan dan peralihan tanggungjawab, tetapi tiada sebarang tindakan diambil,” ujar Guan Eng.

Menurutnya lagi, Nazri dalam kenyataannya baru-baru ini juga mendedahkan kegagalan kerajaan untuk mengadakan tender terbuka bagi projek tersebut,yang menunjukkan berlakunya unsur penyelewengan.

“Di negara-negara maju yang komited untuk memerangi rasuah, kegagalan untuk mengadakan tender terbuka adalah sama seperti perbuatan rasuah,” ujar Guan Eng.

Semalam, Nazri yang memegang portfolio undang-undang berkata, NFC melanggar syarat perjanjian pinjaman mudah dan melakukan pecah amanah apabila wang yang disalurkan kepada syarikat itu diguna untuk tujuan lain.

“Dana berkenaan telah diserahkan berdasarkan projek yang diserahkan kepada NFCorp, yang mana mereka harus menternak lembu dan menjualnya dengan kadar yang lebih rendah.

“Pinjaman itu diberikan hanya bagi tujuan itu. Sekiranya dana itu digunakan bagi tujuan lain, kita tidak perlukan peguam untuk mengetahui samada berlaku pecah amanah atau tidak, sangat mudah,” katanya seperti dilapor The Malaysian Insider.

Tiada ulasan: