Isnin, 13 Februari 2012

NFC : Bayar Semula Wang Dana RM250 Juta Tak Semestinya Terlepas Dari Kesalahan

Post Pic

ANTARA POS.COM


PETALING JAYA : Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin mendakwa cadangan untuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya membayar balik RM250 juta yang dipinjamkan kepada syarikat milik keluarganya untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) bukan jalan penyelesian.

Malah, katanya tindakan tersebut tidak bermakna NFC terlepas daripada dipertanggungjawabkan ke atas krisis yang melanda projek ternakan lembu fidlot itu.

Sebaliknya, mereka yang terbabit dengan kes tersebut perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman jika terbukti wujudnya sebarang bentuk penyelewengan ke atas dana yang diberikannya itu.

Zuraida berkata, adalah tidak wajar melepaskan mereka yang didapati bertanggungjawab ke atas projek itu hanya kerana mereka telah membayar balik pinjaman berkenaan.

"Bayar balik memang perlu tapi kalau kesalahan telah dilakukan kita tak boleh membebaskan pelaku-pelakunya," kata beliau.

Zuraida berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (PFN) itu.

Mohamed Nazri, dilapor berkata keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya membayar balik wang dana RM250 juta yang dipinjamkan oleh kerajaan untuk projek PFN.

Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang juga kurang bersetuju apabila Mohamed Nazri berkata bahawa Shahrizat tidak perlu meletakkan jawatan apabila telah mengembalikan wang kepada kerajaan.

"Saya tak setuju sepenuhnya. Satu 'bahagian' saja dia betul dan saya setuju - bahagian bayar balik RM250 juta," katanya.

"(Kenyataan) Bayar balik duit seolah-olah membebaskan mereka yang terlibat dan menutup kesalahan," katanya.

Khamis lalu, Sharizat disoal siasat oleh SPRM selama dua jam.

Menteri itu berkata beliau berterima kaseh di atas siasatan itu yang memberikannya peluang untuk membersihkan namanya.
Soal siasat itu diadakan selang beberapa jam pembangkang membuat dakwaan baru bersabit isu itu.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli mendakwa keluarga Sharizat membeli dua lagi kondominium mewah bernilai RM35 juta di Singapura.

Pembiayaan pembelian tersebut dipercayai diluluskan oleh bank terbabit sebagai urusan timbal balik kerana National Feedlot Center dan syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki keluarga Shahrizat mempunyai deposit yang besar di bank-bank tersebut.

Rafizi mendakwa sebahagian simpanan itu adalah dana RM250 juta yang diluluskan bagi tujuan operasi NFC.

Rafizi dan Zuraida disaman oleh Sharizat bersabit dakwaan-dakwaan yang dibuat mengenai NFC sejak akhir tahun lalu.
Menteri itu menegaskan beliau tidak ada kena-mengenai dengan projek NFC yang diuruskan oleh suaminya dan tidak akan meletak jawatan dalam kerajaan, mahupun sebagai Ketua Wanita Umno.

Tiada ulasan: