KUALA LUMPUR : NGO anti rasuah, Jingga 13 menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz yang dianggap cuba menyelamatkan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil dari tindakan undang-undang.
Ketua Penyelarasnya, Fariz Musa berkata demikian mengulas kenyataan Nazri yang menasihati Shahrizat membayar semula wang RM250 juta yang dipinjamkan kepada syarikat milik keluarganya, tanpa perlu meletakkan jawatan.
“Persoalan membayar balik dana rakyat yang dipinjam sejumlah RM250 juta adalah isu yang berbeza.
“Skandal NFC telah membuktikan bagaimana keluarga Datuk Seri Sharizat Jalil bertindak menyeleweng dan berlaku pecah amanah jenayah apabila ia menyimpang daripada matlamat dan objektif asal penubuhan Pusat Fidlot Kebangsaan. Malah projek tersebut gagal,” kata Fariz.
Katanya lagi, Nazri dilihat cuba mengambil jalan mudah dengan membuat desakan sedemikian yang membuktikan kerajaan tidak serius menangani skandal NFC oleh keluarga Shahrizat yang menyelewengkan dana tersebut tanpa rasa bersalah.
“Seolah-olah kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan bahawa, bayar balik RM250 juta ‘selesai’ segala masalah,” kata Fariz.
Menurutnya, kenyataan Nazri itu juga seolah menunjukkan skandal itu hanya masalah Shahrizat dan keluarganya sedangkan pusat fidlot kebangsaan adalah projek kerajaan Umno-BN.
Keputusan meluluskan projek itu katanya turut melibatkan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Impak Tinggi , Kementerian Kewangan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
“JINGGA 13 bersetuju terhadap gesaan agar Datuk Seri Sharizat Jalil meletakkan jawatan oleh banyak pihak tetapi itu bukannya langkah bagi “menyelamatkan” beliau dan ahli keluarganya daripada terus dihadapkan kemuka pengadilan.
“Namun bukan Datuk Seri Sharizat Jalil sahaja yang wajar meletakkan jawatan tetapi turut termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mustafa Mohamed dan Datuk Noh Omar yang wajib bertanggungjawab terhadap kegagalan dan kelemahan Projek Fidlot Kebangsaan tersebut,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan