Isnin, 13 Februari 2012

Menentang rasuah yang “halal”

Oleh Adil Mat Selamat


Oleh kerana tarikh pilihan raya umum ditentukan oleh Perdana Menteri yang mewakili parti pemerintah, maka United Malays National Organisation (UMNO) dan Barisan Nasional (BN) telah menggunakan kedudukan mereka sebagai kerajaan untuk berbelanja sakan kepada rakyat menjelang pilihan raya.

Dalam bahasa yang lebih mudah, kerajaan UMNO-BN sekarang menggunakan wang rakyat – kutipan cukai dan hasil sumber negara – yang dipakejkan sebagai “duit kerajaan” untuk ditawarkan sebagai gula-gula politik kepada rakyat.

Pemberian ini dilakukan menerusi pelbagai skim bantuan di pelbagai tempat atau lokasi kepada pelbagai golongan.

Baik memanglah baik, tetapi hakikat kerja menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri adalah membuat dasar dan memastikan pelaksanaan dasar, bukan semata-mata memberi habuan kepada rakyat yang perlu dibalas budi dengan memberi undi kepada sang pemberi.

Ada cerdik pandai mengatakan pemberian itu berupa rasuah politik. Ini kerana, selain dari sebab-sebab yang betul, pemberian itu juga adalah atas motivasi untuk meraih undi di musim pilihan raya yang semakin dekat ini.

Maka pemberian sebenarnya ialah rasuah, tidak kira ianya berbentuk wang, baucar, skim, baja, beras atau apa sahaja. Namun, mengapa masih ramai antara kita tidak menganggap ini sebagai rasuah?

Rasuah yang canggih

Dalam kes rasuah parti politik yang bertopengkan kerajaan ini, modus operandinya adalah dengan menggunakan dana kerajaan, kakitangan kerajaan dan nama kerajaan. Motifnya pula amat ketara bila mana terdapat banyak sekali bantuan yang diberikan itu tidak ada dalam Bajet 2012.

Kita tidak nafikan hak rakyat untuk dibantu atau hak kerajaan untuk membantu, tetapi persoalannya ialah niat tidak menghalalkan cara. Apatah lagi, niat yang ikhlas tetapi dilakukan tanpa ada ketelusan ke atas harta rakyat. Isu ketelusan inilah yang menjadi punca rasuah.

Justeru, soalan yang sama – mengapa ini tidak dianggap sebagai kes rasuah yang perlu disiasat dengan lebih terperinci oleh pihak berkuasa? Bukankah antara tuntutan utama Bersih 2.0 mengenai pilihan raya bersih dan adil itu jelas mahukan kerajaan mengukuhkan institusi awam dan menghentikan rasuah? Bukankah Suruhanjaya Pilihan Raya bertanggungjawab dalam hal ini?

Atau apakah kita semua sudah lali dan sanggup menerima yang “haram” sebagai “halal” kerana telah putus asa dan terlalu sinis dengan sebarang usaha meformasikan institusi termasuk amalan pilihan raya bersih?

Silap mata terhebat

Untuk persoalan ini, penjelasannya harus merujuk tentang bagaimana latar belakang dan amalan yang sedang berlaku dalam demokrasi di Malaysia. Seperti yang kita sebutkan di atas, tarikh pilihan raya itu sendiri sudah memberi hak eksklusif dan advantage kepada parti yang memerintah.

Apatah lagi dengan segala amalan dan tindakan kerajaan dalam kes ‘belanja rakyat’ ini, pastinya ia akan memberi kelebihan kepada parti tersebut. Amalan ini disahkan oleh undang-undang yang kebanyakannya digubal di Parlimen oleh majoriti dikuasai oleh parti UMNO dan BN sebelum pilihan raya 2008.

Dan, lebih malang lagi undang-undang yang melindungi amalan politik yang salah ini tidak jelas batasan atau pemisahan antara tanggungjawab dan kuasa kerajaan dengan batas peranan parti politik.

Akhirnya, amalan ini menjadi budaya dan ianya sah/halal dari aspek undang-undang dan tidak dapat didakwa sebagai amalan rasuah yang salah.

Malah, ia sendiri tidak dilihat sebagai amalan politik yang kotor. Inilah bahayanya rasuah, bukan sahaja harta benda awam akan hilang, malah moral dan akidah sebagai manusia juga akan terhakis.

Silap mata ini telah berjaya diamalkan lebih dari lima puluh tahun UMNO-BN memerintah Malaysia. Parti pembangkang, institusi awam dan rakyat hanya melopong kerana diperbodohkan secara sistematik.

Bersaing di atas lantai yang senget

Apakah keupayaan kita sebagai rakyat untuk menangani kehebatan silap mata UMNO-BN ini?

Oleh kerana suara alternatif kepada UMNO-BN adalah Pakatan Rakyat, maka secara amnya kita terima bahawa Pakatan adalah lambang suara rakyat.

Jadi langkah awal yang paling logik untuk Pakatan adalah dengan mengenepikan dahulu perbalahan-perbalahan kecil yang tidak memberi apa-apa manfaat untuk rakyat dan perubahan politik yang lebih besar. Ungkapan ini kita sudah dengar sendiri dari Pakatan Rakyat, namun gerakan yang tuntas masih dilihat lemah olah rakyat.

Kes-kes penyelewengan wang rakyat baik dalam isu NFC, Zakat, KLIA2, kerugian Proton, skandal saham MAS, skandal PKFZ hinggalah ke skandal Perwaja Steel harus diperjuangkan secara konsisten hingga ia mampu menjadi ‘gula-gula getah’ oleh rakyat – mudah difahami oleh masyarakat seperti mengunyah chewing gum. Inilah cabaran Pakatan Rakyat untuk memujuk, menterjemah dan meyakinkan rakyat.

Kes-kes salah guna kuasa lain seperti juga NFC, kes pita Linggam yang mendedahkan kepincangan sistem kehakiman hinggalah kepada kes pemberian kad pengenalan kepada warga asing hendaklah diiklankan setaraf dengan iklan Coca Cola, Hugo Boss atau paling tidak iklan “Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia!”

Aktiviti mempromosikan penyelewengan UMNO-BN menerusi iklan dan media, akan lebih mudah difahami oleh rakyat. Jika dilakukan secara betul di samping promosi tawaran PR, ia mampu mengubah persepsi menjadi undi kepada Pakatan. Hanya itu yang kita mampu.

Setidak-tidaknya rakyat bersama dengan Pakatan untuk membawa perubahan, selain membantu negeri-negeri pimpinan Pakatan melaksanakan ikrar yang jauh lebih baik daripada janji-janji manis UMNO-BN.

Biarlah UMNO-BN berbelanja sakan merasuah rakyat. Sebaliknya, Pakatan Rakyat harus menunjukkan contoh teladan yang baik dan sopan untuk meraih undi rakyat.

Mustahil rakyat Malaysia yang waras tidak boleh membezakan antara amalan politik buruk dengan yang baik. – Roketkini.com

Tiada ulasan: