Jumaat, 3 Februari 2012

MCA Tidak Larang Ahli Hadir Majlis Anjuran Perkasa Disambut Baik


PETALING JAYA: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyambut baik kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada Jumaat bahawa parti itu tidak melarang ahli-ahlinya daripada menghadiri majlis anjuran Perkasa pada masa akan datang.

Beliau amat mengalu-alukan keputusan Dr Chua itu dan menyifatkan sikap positif presiden MCA tersebut pastinya membantu ke arah perpaduan di negara ini.

“MCA ada agenda perjuangannya, begitu juga Perkasa sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) walaupun adakala terdapat pendapat yang bertentangan.

“Itu lumrah alam. Tidak bermakna kita tidak boleh bekerjasama demi perpaduan rakyat dan kebaikan negara,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online pada Jumaat.

Ibrahim mengulas kenyataan presiden MCA itu yang tidak melarang ahli-ahlinya daripada menghadiri majlis anjuran Perkasa pada masa akan datang.

Ia berikutan isu angpau warna putih yang diberikan oleh Perkasa pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran NGO itu pada 29 Januari lalu di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, sampul surat warna putih yang hanya digunakan oleh masyarakat Cina untuk acara pengebumian telah digunakan Perkasa bagi menggantikan sampul merah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali turut berbesar hati dengan kenyataan yang dibuat oleh presiden MCA itu.

Syed Hassan berkata, ia kerana kehidupan di negara ini mengamalkan konsep 1Malaysia memperlihatkan masyarakat berbilang kaum bercampur dan bersama.

“Kita (Perkasa) akui kesilapan itu. Hidup bermasyarakat ini adalah sebaik-baiknya. Kita berbesar hati dengan niat (Dr Chua) itu.

“Perkara lepas biarkan berlaku. Perkasa juga masih mengalu-alukan ahli-ahli MCA untuk hadir ke majlis kita. Bukan sahaja MCA malah mana-mana kaum pun.

“Kita bukannya rasis. Masing-masing ada perjuangan dan hak masing-masing. Diharapkan MCA juga faham (perjuangan) Perkasa,” katanya lagi.

Tiada ulasan: