Sabtu, 11 Februari 2012

MB: KSSB dipantau SPRM, TI sejak awal

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang menjalankan operasi pasir diuruskan secara telus dan bertanggungjawab, kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat terlebih dahulu telah mengambil langkah perlu seawal memegang pemerintahan negeri.

Antara inisiatif itu kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim termasuklah memberi kebenaran kepada pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk secara bebas ke pejabat KSSB sejak 2009 untuk menjalankan siasatan sekiranya perlu.

“Ketika KSSB dikritik pada 2009, saya telah mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan SPRM diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sultan dan menawarkan mereka untuk menempatkan pegawai-pegawai di pejabat KSSB.

“SPRM menerima menerima tawaran ini dan sejak itu pegawai dan kakitangan SPRM bebas keluar masuk ke pejabat KSSB,” katanya semalam ketika mengulas dakwaan rasuah melibatkan operasi pasir di Selangor yang disiarkan di sebuah laman blog.

Dipantau Transparency International

Menurut Khalid lagi, semua transaksi perniagaan pasir di Selangor dipantau Transparency International (TI) dan dua pengarah bebas badan itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu.

“Kita meminta Transparency International mencalonkan dua nama untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB kerana kita berpendapat, sekiranya lantikan dibuat oleh kerajaan negeri, individu berkenaan mungkin tidak berlaku bebas.

“Transparency International telah melantik Chong Seng Gee dan Sabtu Md Ali untuk menduduki jawatan Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu,” katanya sambil menambah, KSSB juga diaudit setiap suku tahun oleh juruaudit bebas.

Menteri Besar berkata beliau tidak akan menghalang sesiapa yang ingin memberi maklumat mengenai rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat.

“Kita bersedia menerima maklumat daripada orang ramai untuk membantu Kerajaan Negeri dan anak syarikat supaya lebih telus dan bertanggungjawab. Kita serius membanteras rasuah dan kerana itu kita telah mengambil langkah-langkah tertentu sejak beberapa tahun lalu.

Tiada ulasan: