Rabu, 15 Februari 2012

Mat Sabu : Terpulang Kepada Anwar Nak Minta Maaf Atau Tidak

Post Pic

ANTARA POS.COM


SHAH ALAM : Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyerahkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada beliau mahu memohon maaf atau menarik balik sokongannya terhadap Israel atau pun sebaliknya walaupun Majlis Syura memutuskan beliau harus berbuat demikian.

Menurut Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, pendirian Anwar sama sekali tidak akan menjejaskan kerjasama parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR).

Mat Sabu yang dipetik Sinar Harian menambah, apa yang diperkataka oleh Anwar kepada Wall Street Journal (WSJ) adalah pandangan peribadi dan dasar partinya dan oleh itu terpulang kepada beliau untuk memohon maaf atau sebaliknya.

"Pas tidak mempunyai halangan, terpulang kepada Anwar sendiri, persamaan dasar yang ada dalam Pakatan Rakyat (PR) adalah untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan menuju ke Putrajaya, sekiranya ada parti ddalam PR mempunyai dasar lain, ia akan diperbincangkan kemudian.

"Namun sekiranya PKR dan DAP mempunyai dasar partinya sendiri, Pas tidak mencampurinya. Terpulang kepada mereka, termasuk menyuarakan pandangan peribadi ataupun mewakili parti," katanya.

Beliau berkata demikian berhubung tindakan Majlis Syura yang meminta Anwar menarik balik kenyataannya mengenai Israel. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Anwar itu satu tindakan yang tidak betul.

Nik Abdul Aziz menyarankan kepada Anwar sekiranya kenyataan itu telah diputar belit, beliau seharusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ.

Bagaimanapun menurut Mat Sabu, apa yang dilakukan oleh Anwar sama sekali tidak menggugat hubungan antara parti yang ada dalam PR.

"Apa yang berlaku tidak akan menggugat hubungan kami dalam PR, kami mempunyai dasar perjuangan yang sama, dan saya yakin rakyat memahami perkara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, Anwar harus mengambil tindakan terhadap WSJ sekiranya beliau tidak membuat kenyataan sedemikian.

"Apa masalah? Jika benar tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian, Anwar harus bertindak terhadap WSJ, kenapa perlu bimbang tindakan itu boleh menyelesaikan masalah.

"Sekiranya Anwar enggan tarik balik atau menyaman WSJ. Apa boleh buat. Terpulang kepada beliau. Anwar bukan ahli Pas untuk diambil tindakan disiplin," katanya menerusi laman sosialnya.

Tiada ulasan: