Khamis, 23 Februari 2012

Mansuh ISA: Juham fail rayuan masa terdekat

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) berpendirian hukuman penjara 1 hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam yang dikenakan ke atas orang empat belas daripada 11 individu yang ditahan kerana dikatakan terlibat dalam perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri di sekitar Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2009 lalu menunjukkan janji Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA hanya retorik semata-mata.

“Jika benar semua pihak menurut dan akur dengan iltizam Perdana Menteri, sudah tentu pertuduhan itu sudah ditarik balik lebih awal lagi,” kata Ketua Unit Tindakan Undang-undang Jenayah Juham, Azizzul Shariman.

Katanya, Juham melihat hukuman itu jelas membuktikan Barisan Nasional telah membuat suatu penipuan besar kepada seluruh rakyat Malaysia tatkala Perdana Menteri pada malam hari Malaysia tahun lalu mengumumkan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta kononnya akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Beliau yang mengetuai 10 orang barisan peguam Juham yang mewakili 11 orang daripada keseluruhan yang ditangkap berhujah di mahkamah semalam bahawa mahkamah seharusnya mengambil kira keputusan kerajaan yang berhasrat memansuhkan ISA dan meminda Akta Polis sebelum menjatuhkan hukuman terhadap semua yang ditangkap.

Jelasnya, walaupun mahkamah memutuskan kesemua yang ditangkap bersalah, Juham yakin keterangan menunjukkan sebaliknya iaitu apa yang berlaku adalah satu luahan rasa rakyat terhadap kezaliman ISA yang juga dijamin di dalam perlembagaan.

“Juham bertegas bahawa janji Kerajaan Barisan Nasional untuk memansuhkan ISA hanyalah sekadar gula-gula kepada rakyat untuk berhadapan dengan Pilihanraya Umum yang ke-13,” tegasnya kepada Harakahdaily.

Malah, katanya tindakan Kerajaan Barisan Nasional mendakwa kesemua yang ditangkap dari awal lagi merupakan suatu langkah ke belakang tatkala majoriti daripada rakyat Malaysia mahukan ISA dimansuhkan sepenuhnya.

“Adakah ini pelan transformasi yang diumumkan Perdana Menteri?” soalnya.

Maka, ujar beliau benarlah sangkaan PAS dan kebanyakan rakyat selama ini bahawa janji Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA sebenarnya hanyalah suatu pembohongan terancang bagi memperbodohkan rakyat Malaysia kononnya kerajaan Umno Barisan Nasional ingin memartabatkan Malaysia sebagai sebuah Negara yang paling demokrasi di dunia.

Namun pada hakikatnya, tambah beliau Umno Barisan Nasional masih tetap mengekalkan kezaliman, keangkuhan dan tetap sujud kepada talian hayat terakhir mereka iaitu akta kuku besi ISA bagi menakut-nakutkan rakyat supaya tunduk kepada Umno Barisan Nasional.

“Walaupun kita akur dengan keputusan itu, Juham akan meneruskan perjuangan membebaskan kesemua yang ditangkap di peringkat rayuan dan yakin bahawa rayuan ini mempunyai merit yang sangat kuat di mana Juham akan memfailkan rayuan dalam masa terdekat bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen tersebut ke Mahkamah Tinggi.

“Malah, kes ini juga jelas suatu pendakwaan bermotifkan politik di mana fakta kes juga amat longgar untuk mensabitkan kesemua yang ditangkap terlibat di dalam perhimpunan haram,” jelasnya lagi.

Tiada ulasan: