Ahad, 19 Februari 2012

Mahkamah Rayuan bebas dua bekas pengurus besar Tabung Haji

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Selepas menunggu selama 10 tahun, dua bekas Pengurus Besar Lembaga Tabung Haji (TH) lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini daripada sabitan serta hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan pecah amanah dan menipu wang RM200 juta milik institusi itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ramly Ali yang bersidang bersama Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Azahar Mohamed membebaskan Datuk Mohd. Amin Sidek, 60, dan Datuk Mohammad Shafie, 62, selepas membenarkan rayuan akhir kedua-duanya.

Sehubungan itu, mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang mensabitkan mereka serta keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya selepas berpuas hati bahawa sabitan dan hukuman itu tidak selamat untuk dipertahankan.

Sejurus keputusan diumumkan, suasana mahkamah bertukar sayu apabila Mohd. Amin dan Mohammad yang menekup muka tanda kesyukuran sambil berdakapan sesama sendiri sebelum dipeluk oleh ahli keluarga dan sahabat handai masing-masing yang hadir memberi sokongan.

Mohd. Amin dalam reaksinya ketika ditanya pemberita berkata, dia bersyukur dengan keputusan hari ini dan telah menjangka dibebaskan kerana yakin tidak bersalah.

Sementara itu, Mohammad yang meyakini ketelusan badan kehakiman pula memberitahu, penantian selama 10 tahun untuk membersihkan nama daripada tuduhan tersebut tidak sia-sia kerana akhirnya dibebaskan.

Hakim Ramly ketika membacakan keputusan itu berpendapat, tiada penyembunyian fakta mengenai pelaburan asing menggunakan dana Tabung Haji kerana perkara itu telah didedahkan melalui kertas cadangan kepada menteri.

Panel tersebut turut berpuas hati, tiada fakta yang menyatakan bahawa pelaburan asing jangka pendek itu perlu mendapat kelulusan menteri.

Sehubungan itu, hakim bicara tersilap arah ketika memutuskan elemen ketidakjujuran dan tidak amanah seperti pertuduhan yang mereka hadapi ketika mensabitkan kedua-duanya.

Mereka diwakili oleh peguam-peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Sulaiman Abdullah dan Zamani Ibrahim.

Pada 21 Januari 2007, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenakan hukuman penjara 10 tahun terhadap kedua-duanya selepas mendapati mereka bersalah melakukan pecah amanah wang Tabung Haji.

Ketika kejadian, Mohd. Amin merupakan Pengurus Besar Kanan (Kewangan) manakala Mohammad merupakan Pengurus Besar Kanan (Pelaburan) institusi berkenaan.

Kedua-dua bekas pegawai kanan itu turut dihukum penjara enam tahun setiap seorang atas dua kesalahan menipu dua menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kelulusan pelaburan dana itu.

Kedua-dua hukuman penjara 10 tahun dan enam tahun diperintah oleh Mahkamah Sesyen berjalan serentak.

Mereka dituduh bersama-sama menipu Allahyarham Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin di JPM Putrajaya antara 29 Jun 2000 dan 27 Julai 2001.

Bagi tuduhan melakukan pecah amanah, Mohammad dan Mohd. Amin didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak di ibu negara di antara 14 Julai 2000 dan 11 Mei 2001.

Tiada ulasan: