Isnin, 13 Februari 2012

Mahfuz: Dedah minit mesyuarat NFC

Minit mesyuarat yang mengandungi keterangan daripada beberapa pegawai kementerian terlibat termasuk pegawai NFC 23 November 2010 perlu didedahkan segera.



KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mahu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) mendedahkan minit mesyuarat siasatan skandal Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dijalankan pada November tahun lalu kepada awam.

Katanya, minit mesyuarat yang mengandungi keterangan daripada beberapa pegawai kementerian yang terlibat termasuk pegawai NFC pada 23 November tahun lalu itu perlu didedahkan segera sebelum bermulanya sidang Parlimen bulan depan.

Ini kerana menurut Mahfuz, selain mendengar keterangan pegawai NFC, PAC juga pada waktu itu turut mendengar empat jawatankuasa yang bertindak memantau perjalanan projek dan pemberian RM250 juta kepada NFC sejak 2006.

Jawatankuasa itu melibatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kewangan, dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) selain beberapa pegawai daripada agensi lain yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu memegang portfolio Menteri Pertanian.

“Minit mesyuarat itu sangat penting untuk kita lihat bagaimana unsur penyelewengan bukan sahaja bermula dariapda pelaksanaan projek, tetapi bermula daripada pemberian projek dan pinjaman yang membabitkan pihak lebih atas,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Nazri minta Shahrizat bayar balik RM250 juta

Selain itu, Mahfuz turut membidas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menasihatkan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya membayar balik pinjaman RM250 juta bagi menyelesaikan masalah skandal NFC ini.

Nazri dalam kenyataannya semalam berkata Shahrizat dan keluarganya perlu membayar semula kepada kerajaan dan itu adalah penyelesaian terbaik tanpa perlu Shahrizat meletakkan jawatan.

Nazri berkata denan penyelesaian seperti itu, kerajaan masih boleh meneruskan projek NFC dengan memberikan tender projek secara terbuka bagi mengelakkan masalah yang sama berulang.

“Ini kenyataan yang sangat dangkal daripada seorang menteri yang menjaga hal perundangan, pendakwaan dan penghakiman.

“Dia (Nazri) harus bertegas kerana ini isu besar yang mmbabitkan soal penyelewengan dan isu ini perlu disiasat secara keseluruhan dan bukan hanya membabitkan pelaksanaan projek, tetapi proses pemberian tender.

“Kalau soal pecah amanah ada perkara yang tak betul maka kes itu perlu dibawa ke mahkamah dan diambil tindakan tegas,” katanya.

Masih banyak kontroversi

Sementara itu, beliau turut meramalkan pilihan raya umum tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan masih banyak perkara kontroversi membabitkan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang masih belum selesai.

Antaranya sistem penggunaan dakwat kekal yang masih belum jelas, peruntukan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mendapat bantahan pelbagai pihak, selain skandal NFC sendiri.

“Kemungkinan BN akan mengambil kesempatan mengumumkan tarikh pilihan raya selepas upacara pertabalan Yang diPertuan Agong (YDPA) yang dijangka berlangsung pada penghujung April atau Mei depan,” katanya

Tiada ulasan: