Jumaat, 10 Februari 2012

Kren tumbang hempap empat kenderaan

Ahmad Ismadi Ismail

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus projek sebuah syarikat pembinaan nyaris maut selepas kepala sebuah kren di tapak pembinaan bangunan 35 tingkat berhampiran Hotel InterContinental di Jalan Ampang di sini, patah petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, empat kenderaan termasuk sebuah kereta jenis Perodua Kelisa, Proton Wira dan Proton Satria, yang diletakkan di kawasan berkenaan manakala sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Lexus, yang sedang melalui kawasan itu remuk teruk di bahagian belakang.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Eric, 52 berkata, dia sedang dalam perjalanan denga memandu Toyota Lexus untuk mengambil majikannya yang sedang membeli-belah di Menara Berkembar Petronas.

“Saya cuba mengelak sesuatu yang jatuh dari atas bangunan itu, namun sebahagian kren menghempap bahagian belakang kereta, mujurlah saya selamat,” katanya.

Seorang lagi saksi kejadian, Albert Sam, 37, berkata, dia biasanya memandu di kawasan itu untuk menghantar majikannya ke pejabat.

“Saya bernasib baik tidak melalui jalan itu pada hari ini kerana mengikut gerak hati, saya melihat kren yang jatuh ketika itu seperti ‘gempa bumi’ sedang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khairudin Drahman berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan telah mengarahkan kerja pembinaan itu ditangguhkan sehingga siasatan selesai.

“Kami menerima panggilan kira-kira jam 1.23 tengah hari, seramai 15 anggota dan dua buah jentera dari Balai Bomba dan penyelamat Pusat dan Chow Kit, jentera pertama sampai ke lokasi kejadian 14 minit kemudian,” katanya.

Tiada ulasan: