Isnin, 20 Februari 2012

Kita kekal, tapi hadapi risiko batal pendaftaran

G MANIMARAN

Zaid Ibrahim
SHAH ALAM - Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), yang ditubuhkan lebih setahun lalu, kini berhadapan dengan kemungkinan dibatalkan pendaftaran berikutan lima pelanggaran perlembagaan parti itu.

Surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, yang ditandatangani oleh Timbalan Pendaftar Pertubuhan, Fison Yahaya, menggariskan lima kesalahan mengapa Kita tidak patut dibatalkan.

Surat tunjuk sebab dialamatkan kepada Setiausaha Kita, Masrum Dayat diterima baru-baru ini.

Langkah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ini dilihat menarik perhatian ketika cadangan Ketuanya, Datuk Zaid Ibrahim untuk membubarkan parti itu masih diperkatakan oleh banyak pihak termasuk dibantah sebahagian kepimpinan parti itu.

Cadangan membubarkan Kita itu bagaimanapun tidak diterima oleh anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JEP) yang bermesyuarat, Jumaat lalu.

Ketika mengesahkan kedua-dua perkara itu, Masrum berkata, pihaknya akan menjawab surat tunjuk sebab sebagaimana dikehendaki oleh jabatan itu dalam tempoh ditetapkan.

Surat bertarikh 9 Februari itu perlu dijawab sebelum 9 Mac.

"Kami akan menjawab," katanya kepada Sinar Harian Online.

Menurut jabatan itu, "cadangan pembatalan adalah kerana pertubuhan ini (Kita) dengan bersengaja melanggar peruntukan undang-undang berdaftar pertubuhan."

Kita, menurut jabatan itu, telah bersengaja melanggar Fasal 11.3.2 Perlembagaan Kita melantik Datuk Pengiran Othman Rauf sebagai salah seorang pengerusi negeri tanpa melalui JEP.

Selain itu, Kita juga dituduh "telah bersengaja melanggar Fasal 11.4 Perlembagaan parti kerana melantik Kottappan Suppiah sebagai anggota Biro Politik, yang bukan daripada kalangan anggota JEP yang dipilih dalam persidangan perwakilan tahunan."

Di bawah kesalahan ketiga, Kita dituduh telah bersengaja melanggar Fasal 17.1 kerana melantik Masrum sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keahlian pada 25 Februari 2011 tanpa melalui JEP.

Kita juga didakwa telah bersengaja melanggar Fasal 12.3.4 Undang-undang Berdaftar Persatuan kerana minit mesyuarat JEP bertarikh 29 Jun lalu tidak disediakan oleh setiausaha parti.

Parti itu juga didakwa telah bersengaja melanggar Fasal 17.1 Perlembagaan Parti kerana Masrum ketika dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keahlian bukan ahli parti.

Masrum ketika ditanya sama ada pihaknya terkejut dengan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan berkata, pihaknya terkejut kerana agensi itu menghantar surat tunjuk sebab meminta penjelasan yang sama sedangkan kesemua lima perkara itu sudah pun dijelaskan ketika pegawainya datang mengambil keterangan beberapa bulan yang lalu.

"Saya terkejut kerana surat tunjuk sebab menggariskan perkara yang sama, yang sudah dijawab ketika siasatan dijalankan sebelum ini.

"Bagaimanapun, kami akan tetap menjawab surat mereka," katanya lagi.

Ketika menjelaskan perkembangan mesyuarat JEP yang diadakan Jumaat lalu, Masrum berkata, jawatankuasa itu sebulat suara memutuskan Zaid perlu terus mengetuai Kita dan parti itu tidak akan dibubarkan.

"Mesyuarat Perwakilan Luar Biasa (EGM) tidak perlu, dan tidak akan diadakan. Ini keputusan sebulat suara mesyuarat JEP," katanya.

Bulan lalu, Zaid mengumumkan hasratnya mahu membubarkan Kita.

Beberapa pemimpin negeri membantah cadangan itu.

Masrum juga berkata, Mesyuarat Perwakilan Tahunan yang sepatutnya diadakan minggu ini ditangguhkan sehingga pertengahan April depan.

Tiada ulasan: