Sabtu, 11 Februari 2012

Khuatir disogok, SPRM digesa pantau EGM KPF

Hazayani Zakaria,

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau perjalanan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas (EGM) Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF), 22 Februari ini.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, pihaknya khuatir wujud penyelewengan dan sogokan dalam EGM itu berdasarkan maklumat yang diterima bahawa kos EGM tersebut mencecah RM1 juta.

Katanya, Anak menerima maklumat perwakilan akan diberi habuan agar menyokong penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia.

"Anak meminta SPRM membuat pemantauan sebelum dan semasa EGM ini berlangsung kerana kosnya begitu besar.

"Kita tak pasti kos apa yang begitu besar sebab itu wujud kebimbangan akan ada sogokan kepada perwakilan," kata Mazlan pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Sementara itu, Anak melalui peguamnya, Mohd Harris Abdullah akan sekali lagi memfailkan saman pemula memohon injunksi mahkamah bagi menghalang EGM itu diadakan.

Saman itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuantan, 17 Februari ini.

Menurut Harris, beliau akan berbuat demikian setelah diminta oleh ahli KPF yang tidak menyokong EGM tersebut, selepas menerima notis panggilan mesyuarat yang akan diadakan di Ibu Pejabat Felda, Jalan Maktab, dekat sini.

Notis bertarikh 31 Januari di bawah Fasal 30 (1) Undang-undang Kecil KPF itu antaranya menyatakan agenda EGM untuk membincangkan perkara berkenaan usul-usul Lembaga KPF dan/atau Rekuisisii tersebut mengenai cadangan penjualan pegangan KPF sebanyak 51% dalam Felda Holdings Berhad melibatkan 10 anak syarikat Felda.

Ia berhubung penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

"Ahli KPF sudah menerima notis panggilan mesyuarat yang akan fokus kepada penyenaraian FGVH.

"Seperti sebelum ini, saya akan failkan injunksi agar mahkamah menghalang EGM ini," katanya.

Mesyuarat agung khas halang penyenaraian

Bercakap pada sidang media yang sama, Mazlan berkata, pihaknya akan akan memanggil mesyuarat agung khas dengan persetujuan perwakilan atau pemegang saham KPF bagi menghalang penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

Anak akan menuntut mesyuarat agung tersebut menggunakan peruntukan fasal 29 (1) Undang-undang Kecil KPF.

Menurut Undang-undang Kecil KPF, Lembaga pada bila-bila masa boleh, dan apabila ada rekuisisi yang ditandatangani oleh sekurang-kurangnya satu perlima atau satu ratus perwakilan mengikut mana yang kurang hendaklah memanggil suatu mesyuarat agung perwakilan khas mengikut subseksyen 40 (1) Akta.

Sehubungan itu, Anak akan menyerahkan notis tersebut kepada setiausaha KPF di Ibu Pejabat Felda Khamis ini.

Menurut Harris, mesyuarat itu meminta KPF tidak dikaitkan dengan menyenarai FGVH dalam apa cara sekali pun.

"KPF dilarang sama sekali untuk lupuskan ekuiti milik KPF dalam Felda dan sepuluh anak syarikat milik Felda kepada FGVH atau mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh Felda atau FGVH," katanya.

Selain itu, mereka juga menuntut agar KPF melarang sebarabg jenis campur tangan dalam urusan harian KPF atau mengusik atau menyentuh atau melupuskan apa-apa ekuiti milik KPF dalam Felda dan sepeuluh anak syarikat Felda oleh mana-mana pihak termasuk Felda atau FGVH atau mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh Felda.

"Kita akan ke Ibu Pejabat Felda jam 11 pagi Khamis ini bagi bertemu dengan lembaga pengarah," katanya.

Tiada ulasan: