Oleh Shakira Buang
SHAH ALAM : Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor masih belum menunaikan janji pilihanraya 2008 seperti memberi sagu hati bulanan untuk rakyat menghantar anak mereka ke taska walaupun mempunyai simpanan rizab sebanyak RM1.9 bilion.
Mantan Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata kerajaan negeri seharusnya menunaikan janji-janji yang dibuat dan tidak lagi menunding jari kepada Barisan Nasional untuk menutup kelemahan diri.
"Oleh kerana kerajaan negeri mempunyai banyak simpanan hari ini, saya berharap mereka dapat membayar tunggakan selama empat tahun janji-janji pilihan raya mereka dulu,” kata beliau.
“Antaranya ialah RM 75 sebulan untuk bayaran anak ke Nuseri , RM 50 sebulan untuk bantuan kanak-kanak pra-sekolah, anak RM 600 sebulan sebagai elaun Ibu tunggal," beliau menulis di dalam blognya.
Beliau merujuk kepada pengumuman Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini bahawa kerajaan negeri berjaya menambah rizabnya kepada RM1.9 bilion berbanding RM500 juta pada tahun 2008.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exconya juga tidak harus bingkas menyalahkan kerajaan lalu terhadap segala aduan yang dibawa oleh rakyat, tambah beliau.
"Saya percaya dengan simpanan sebanyak itu kerajaan negeri mampu memperbaiki keadaan jalan-jalan milik negeri dan pihak berkuasa tempatan yang menjadi rungutan orang ramai sekarang,” kata Khir yang menjadi Menteri Besar selama lapan tahun, sehingga Pakatan Rakyat menawan Selangor pada tahun 2008.
“Saya tahu ada yang akan berkata zaman saya pun ada jalan berlubang. Itu juga saya tidak nafikan. Namun keadaan sekarang berpuluh kali ganda lebih teruk daripada dahulu dalam konteks keadaan jalan-jalan di bawah negeri dan pihak berkuasa tempatan," katanya.
"Daripada sibuk menyalahkan kerajaan lalu, eloklah kerajaan hari ini menunaikan janji dan tanggungjawab mereka. Sampai bila Pakatan hendak "hidup" berasaskan strategi menjadikan UMNO dan Barisan Nasional sebagai "whipping boy" (kuda tunggangan)," ujarnya.
Khir Toyo berkata Pakatan Rakyat harus akur bahawa peningkatan rizab Selangor sekarang adalah hasil projek-projek yang dirancang lima atau enam tahun lalu.
"Oleh kerana kita tidak didedahkan dengan sumber-sumber pertambahan tersebut tidaklah kita boleh berbuat satu kesimpulan yang tuntas, sama ada ia merupakan hasil langkah-langkah pro-aktif kerajaan Pakatan hari ini atau ia adalah hasil pertumbuhan ekonomi yang dirancang dan berjalan semasa kerajaan Barisan Nasional lagi.
"Maka bolehlah diandaikan sebahagian besar peningkatan ini merupakan hasil pembangunan 5-6 tahun lalu yang mula menampakkan hasil pada hari ini.
Khir mengaku sebahagian daripada rizab itu adalah juga hasil dasar jimat-cermat Khalid yang bagaimanapun mendatangkan kesan sampingan yang menjejaskan kesejahteraan penduduk.
"Dari sudut pentadbiran kerajaan, simpanan yang banyak merupakan satu pembaziran sumber ekonomi terutamanya dalam keadaan pengurusan infrastruktur negeri yang semakin merosot,"jelasnya.
Khir berkata tindakan Khalid menamatkan kontrak Alam Flora mencetuskan masalah pengurusan sampah serta memburukkan nasib kontraktor Melayu kerana tidak ada perancangan dan penelitian yang rapi dibuat.
"Keadaan pengurusan sampah juga sudah menjadi sangat buruk. Dahulu pun ada aduan dari semasa ke semasa. Namun keadaan sekarang sudah parah akibat daripada keputusan yang tidak tepat dan bijak,” kata beliau.
"Kerajaan negeri sepatutnya hanya menamatkan kontrak Alam Flora tetapi meneruskan khidmat kontraktor-kontraktor sedia ada sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun lagi. Ini akan membolehkan kerajaan negeri menyediakan diri dalam membentuk mekanisme pengurusan sampah yang sistematik.
"Malangnya, kerajaan negeri bukan sahaja bertindak menamatkan kontrak Alam Flora tetapi juga semua kontraktor sampah di bawah Alam Flora,” kata beliau.
“Khabarnya, para kontraktor hanya diberikan kontark lanjutan selama 3 bulan sebelum khidmat mereka ditamatkan. Ini menyebabkan sebahagian kontraktor menjalankan khidmat separuh hati dan juga bimbang mereka tidak mendapat bayaran," katanya.
Khir berkata akibat dasar-dasar Khalid, rezeki untuk kontraktor Melayu di Selangor semakin tertutup.
“Jika dulu kerajaan berusaha menaikkan taraf hidup orang Melayu dengan memberi peluang mereka bersaing dengan kontraktor bukan Melayu yang mempunyai modal besar dan rangkaian sekutu yang sukar dipecahkan, namun hari ini segala usaha tersebut sedang di musnah dan tidak mustahil jurang ekonomi antara kaum akan kembali melebar,” kata Khir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan