Isnin, 13 Februari 2012

Khalid Nafi Dakwaan Abai Pelajar Luar Bandar

Post Pic


SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor menolak dakwaan kerajaannya mengabaikan pendidikan pelajar negeri berkenaan terutamanya mereka yang bersekolah di luar bandar.

Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata perangkaan yang dicatatkan dalam setiap keputusan peperiksan bagi pelajar luar bandar menunjukkan peningkatan setiap tahun, malah peningkatan tersebut adalah lebih tinggi berbanding pelajar bandar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar bahawa kerajaan negeri tidak menitik beratkan soal pendidikan terutamanya di kalangan pelajar di luar bandar neegeri berkenaan.

"Beliau (Noh) kena tengok perangkaan, saya rasa dia lemah dari segi perangkaan. Perangkaan yang menunjukkan yang penting adalah peningkatan, hasil kelulusan dan pencapaian lebih tinggi di luar bandar berbanding di bandar. Ada sesetengah sekolah seperti di Kuala Kubu, Sabak Bernam mempunyai keputusan yang lebih tinggi. Saya rasa Noh Omar perlu berbincang dengan Pengarah Pelajaran negeri Selangor kerana itu satu tamparan kepadanya," ujarnya.

Minggu lalu Noh Omar yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang berkata kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengambil berat soal pendidikan anak-anak Selangor terutamanya mereka yang di luar bandar.

Beliau berkata kerajaan negeri di bawah BN dahulu mengambil inisiatif membela anak-anak Selangor mendapatkan pendidikan lebih baik untuk mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

Dalam sidang media yang sama beliau turut mempertahankan dan ingin meneruskan rancangan untuk merobohkan Asrama Toh Puan Norashikin dan Tun Dr Ismail di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, meskipun ia mendapat banyak tentangan daripada pelbagai pihak.

"Kita ada rancangan di mana kita akan membangun semula kawasan yang perlu dibangunkan dan rancangan itu mengambil kira penempatan-penempatan mereka yang perlu dimasukkan dalam asrama-asrama. Jadi selalunya perancangan dibuat akan makan masa dua atau tiga tahun. Oleh sebab dalam perancangan itu kerajaan negeri mengamalkan sikap keterbukaan, kita beritahu mereka tentang rancangan-rancangan kita. Tujuannya supaya semua pegawai dan ibu bapa tahu apa yang kita lakukan."

Katanya lagi kerajaan negeri telah melakukan kajian dan sistem pendidikan di Malaysia kini sudah mula tidak tertumpu kepada sekolah-sekolah tertentu tetapi dibuat secara meluas supaya setiap daerah mempunyai pusat pendidikan yang juga dipanggil "Excellent Centre", jelas beliau lagi.

Tiada ulasan: