Jumaat, 3 Februari 2012

Iskandar nafi harga rumah kos rendah Seksyen U5 dinaikkan

Kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pemaju menaikkan harga rumah kos rendah dengan sewenang- wenangnya walaupun melibatkan projek terbengkalai.



PETALING JAYA: Pentadbiran negeri Selangor di bawah pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) terdahulu dikecam kerana menimbunkan pelbagai masalah kepada Pakatan Rakyat sejak Mac 2008 sehingga sekarang.

Salah satu projek yang terbengkalai hasil peninggalan Umno-BN tetapi disalahkan kepada Pakatan ialah projek perumahan kos rendah di

Jalan Pluto, Seksyen U5, Shah Alam, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad.

Katanya, dakwaan bahawa pembeli rumah kos rendah itu perlu menambah pembayaran atau “top-up” sehingga RM30,000 jika mahu rumah mereka disiapkan adalah tidak benar.

“Kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pemaju menaikkan harga rumah kos rendah dengan sewenang-wenangnya walaupun ia melibatkan projek terbengkalai,” jelas beliau yang juga ahli dewan negeri Chempaka dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, harga rumah kos rendah dikawal oleh kerajaan negeri iaitu RM42,000 sebuah. Tetapi RM35,000 pula untuk peneroka bandar (setinggan) di mana subsidi RM7,000 dibayar oleh pemilik tanah tapak rumah peneroka bandar tersebut.

“Pembeli-pembeli projek perumahan itu telah dijanjikan rumah sejak 1993 di zaman Umno-BN mentadbir Selangor.

Projek terbengkalai

“Bagaimanapun projek tersebut telah terbengkalai dan hanya dalam tahun 2010 ketika pentadbiran Pakatan pemaju baru telah dengan secara rasmi mengambil alih,” katanya

Iskandar berkata, pengambil alihan projek ini oleh pemaju baru dari pemaju lama adalah hasil rundingan di antara kedua-dua pihak.

“Kerajaan negeri tidak pernah memaksa mana-mana pemaju projek terbengkalai menerima pemaju baru,” terang beliau.

Di dalam pembentangan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada bulan Disember 2010, pemaju baru projek ini telah diberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan sama sekali menaikkan harga rumah kos rendah malah mereka telah diarah untuk menanggung subsidi RM7,000 bagi setiap peneroka bandar.

Tetapi pemaju dibenarkan menukar dua dari enam blok rumah kos rendah yang belum dijual kepada rumah mampu milik supaya mereka dapat membiayai kos membaikpulih dan kos subsidi RM7,000 itu. Sejak itu kerajaan negeri telah memantau kemajuan projek ini dari masa ke semasa.

“Adalah diharapkan mereka yang mempolitikkan pelaksanaan projek ini agar berhenti dari melakukannya. Projek ini telah bertahun-tahun terbengkalai di bawah Umno-BN.

“Mereka telah gagal menyelesaikan masalah ini ketika Selangor di bawah pentadbiran mereka tetapi sekarang cuba berlagak seperti wira yang membantu rakyat,” ujar beliau.

Tiada ulasan: