"Untuk memenangi Malaysia, PAS perlukan sokongan bangsa lain dan kita memilih DAP berdasarkan rekod DAP yang baik.
KOTA BARU: Datuk Husam Musa berkata Umno Kelantan tidak akan mampu merampas kerajaan negeri dalam pilihan raya nanti.
“Dulu mungkin boleh untuk Umno menang 23 dari 55 kerusi DUN Kelantan tetapi selepas bocornya penyelewengan Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Awang Adek Hussein dalam kes masuknya wang kontraktor ke akaun peribadi, ia agak mustahil.
“(Kerusi) Umno mungkin kurang daripada itu,” tambah Husam.
Baru-baru ini Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Umno akan menawan Kelantan dalam pilihan raya umum ke 13.
Ini katanya berdasarkan sokongan masyarakat Kelantan kepada Umno yang kecewa kegagalan kerajaan negeri pimpinan PAS.
PAS telah memerintah Kelantan sejak pilihan raya umum tahun 1990.
Sementara itu, Husam berkata, PAS bekerjasama dengan DAP kerana parti itu lebih baik dari MCA dan MIC.
DAP lebih baik
“Kalau Umno boleh berkerjasama dengan gabungan parti mewakili bangsa lain di Malaysia kenapa PAS tidak boleh kerana Malaysia pelbagai kaum.
“Untuk memenangi Malaysia, PAS perlukan sokongan bangsa lain dan kita memilih DAP berdasarkan rekod DAP yang baik.
“(DAP) jauh lebih baik berbanding pakatan dalam BN,” kata naib presiden PAS itu dalam ceramahnya di sini malam tadi.
Husam berkata, apa yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng lebih baik dari Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Exco kanan kerajaan negeri Kelantan itu juga menolak tuduhan Umno bahawa Pakatan Rakyat akan diperalat oleh DAP.
“Fakta ini silap. Sebagai contoh bila Pakatan Rakyat menang, kerusi Melayu akan bertambah. Sekurang-kurang empat kerusi akan bertambah dengan calon Melayu mewakili DAP termasuk satunya di Raub, Pahang,” tambahnya.
Husam juga menegaskan Pakatan Rakyat akan menawan Sarawak dalam pilihan raya umum ke13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan