Sekumpulan ahli Koperasi Permodanan Felda (KPF) menuntut diadakan mesyuarat agung khas KPF serta mahu memfailkan injunksi kedua bagi menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.
Hari ini, sekumpulan 120 ahli KPF membuat tuntutan tersebut dalam satu memorandum yang diserahkan kepada lembaga pengarah koperasi berkenaan.
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata peneroka berkenaan berhak berbuat demikian mengikut Fasal 29(1) undang-undang kecil koperasi tersebut.
Mazlan berkata, undang-undang kecil itu memperuntukkan bahawa kuorum untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa itu boleh diadakan oleh satu perlima daripada pemegang saham ataupun 100 orang perwakilan.
Bagaimanapun, Seksyen 40(1) Akta Koperasi 1993 pula memperuntukkan bahawa usaha itu memadai dilakukan oleh 100 orang pemegang saham, katanya.
"Maka hari ini kita kemukakan 120 orang pemegang saham... Kita harap tafsiran (peruntukan tersebut) bukan jadi isu utama.
"Yang penting kita mesti hormati 220,000 orang pemegang saham dalam KPF di mana kita yakin sebahagian besar daripada mereka tidak dipanggil untuk berbincang dan dinafikan hak sebagai pemegang saham," katanya.
Katanya lagi, pemegang saham itu juga boleh mencabar keputusan KPF sekiranya lembaga pengarah koperasi itu menolak permohonan mereka untuk mengadakan mesyuarat agung tersebut.
"Kita ada pendekatan lain, yang pasti kita tidak akan beri laluan mudah kepada usaha penyenaraian ini yang akan dilakukan KPF. Kita akan lakukan apa saja untuk tentang penyenaraian ini," kata Mazlan lagi selepas menyerahkan memorandum berkenaan di ibu pejabat KPF di Kuala Lumpur.
Dalam memorandum itu, peneroka berkenaan menuntut supaya mesyuarat berkenaan antara lainnya membincangkan usul supaya KPF – yang kini memiliki 51 peratus kepentingan daripada RM3 bilion modal pasaran Felda – tidak dikaitkan dengan penyenaraian FGVH "dalam apa cara sekalipun".
Mesyuarat itu juga akan membawa usul untuk menghalang KPF daripada melupuskan sebarang ekuitinya dalam Felda Holdings Bhd (FHB) dan juga sepuluh anak syarikat milik Felda.
Usul juga akan dibawa untuk melarang ekuiti tersebut dilupuskan kepada mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh FHB atau FGVH.
Selain itu, mesyuarat itu juga akan mengemukakan usul untuk menghalang "sebarang jenis campur tangan dalam urusan harian KPF atau mengusik atau menyentuh atau melupuskan apa-apa ekuiti" miliknya.
Mazlan juga berkata, permohonan tersebut akan dimasukkan dalam injunksi yang akan difailkan esok di Mahkamah Tinggi Kuantan untuk menghalang mesyuarat agung KPF pada 22 Februari.
Mesyuarat agung perwakilan khas KPF yang dijadualkan pada 4 Januari lalu dibatalkan selepas empat orang anggota koperasi berkenaan mengemukakan injunksi berhubung isu sama.
Awal minggu ini, Felda kemudiannya bertindak mengadakan program penerangan besar-besaran melibatkan lebih 1,300 pemimpin tanah rancangannya dari seluruh negara, yang dilihat sebagai satu usaha untuk meredakan kebimbangan peneroka berhubung penyenaraian FGVH.
Antara yang ditimbulkan dalam program taklimat itu ialah cadangan penubuhan Felda Asset Holdings Company – satu instrumen yang dirangka untuk bagi mengawal dan memastikan kepentingan Felda tidak dijual sewenang-wenangnya.
Cadangan penubuhan syarikat tersebut dijangka akan diluluskan dalam mesyuarat 22 Februari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan