Sabtu, 25 Februari 2012

FGVH: Anak pastikan rancangan Isa gagal

Hazayani Zakaria,




KUALA LUMPUR:
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaaan (Anak) kesal dengan kenyataan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad bahawa Felda akan meneruskan proses penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) tanpa penglibatan Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).

Presidennya, Mazlan Aliman (gambar) berkata, Isa masih tidak menyedari signal peneroka yang menolak penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia malah ramai di kalangan pegawai tinggi Felda tidak bersama Isa.

"Anak berjaya halang mesyuarat agung KPF bincang penyenaraian tapi Tan Sri Isa Samad mempunyai pendirian yang kontra dengan warga peneroka. Beliau tidak ambil kira langsung reaksi peneroka," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Sehubungan itu, Anak katanya sedang mengkaji tindakan lanjut untuk menghalang 360,000 hektar tanah Felda dipajak kepada FGVH bagi tujuan penyenaraian FGVH.

"Anak sudah berbincang dengan panel peguam dan peguam sedang mengkaji sama ada peneroka Felda mempunyai locus standi terhadap tanah mereka.

"Kalau mereka mempunyai lokus standi, Anak boleh fail saman menghalang tanah dipajak kepada FGVH," jelasnya Pegerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat itu.

Isa dilaporkan berkata, Felda bercadang menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) untuk menjaga kepentingan peneroka Felda yang berjumlah 112,635 orang.

Mazlan turut menyanggah hujah kerajaan bahawa penyenaraian itu bertujuan menambah nilai Felda.

Beliau sebaliknya berkata, kerajaan seharusnya menambah baik pentadbiran Felda terlebih dahulu.

"Usaha penambahbaikan mesti bermula di peringkat pentadbiran Felda.

"Usaha menambah nilai Felda mesti melibatkan golongan muda dalam Felda sendiri, dan pakar-pakar ekonomi, tak perlu kepada penyenaraian," katanya.

Tiada ulasan: