KUALA LUMPUR, — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata perjuangan atas nama bangsa boleh menjadi “asabiyah” yang ditentang Islam menambah ia boleh membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada bangsa lain.
Bagaimanapun beliau berkata Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan bangsa sendiri jika ada keperluan ke arah itu selain tidak mewujudkan permusuhan dengan bangsa lain.
“Ada pun asabiyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan.
“Sikap fanatik puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain.”
Asri berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria bahawa orang Melayu perlu mempertahankan hak mereka di negara ini selain mengatakan Nabi Muhammad juga berbuat demikian.
Harussani berkata Nabi Muhammad sendiri telah menyeru kepada bangsa Quraisy pada waktu itu supaya mempertahankan bangsa mereka.
“Ada orang kata kalau kita bercakap bangsa Melayu dikatakan kita ini orang yang nasionalis. Nabi juga bercakap tentang kaumnya.
“Kita pertahankan bangsa kita bukan bermakna taksub dan memang wajib pun kita pertahankan kerana negara ini adalah kepunyaan orang Melayu,” katanya pada pelancaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinamakan “Jati” pimpinan Datuk Dr Hasan Ali semalam.
Jati merupakan platform terbaru Hasan selepas dipecat PAS awal Januari lalu untuk meneruskan agenda memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu.
Tambah Asri, usaha memartabatkan bangsa bukan prinsip perjuangan Islam namun boleh menjadi keperluan sementara apabila keadaan mendesak.
“Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa,” katanya menambah prinsip Islam melampaui semua aspek termasuk bangsa.
“Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.”
Beliau menambah perjuangan menentang bangsa lain bukan ajaran Islam.
Sementara itu Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata kenyataan Harussani itu perlu diteliti dengan sebaik-baiknya kerana ia bertentangan dengan fakta sejarah.
“Kenyataan itu perlu teliti dan diteliti. Dari sudut perkataan nabi dan sejarah nabi, memang tidak ada fakta seperti itu.
“Tentang pertahan kaum, nabi suruh pertahan yang hak dan yang benar. Kena bela kaum masing-masing tapi bukan atas asas kezaliman,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau juga menambah “asabiyah” ditolak Nabi Muhammad kerana bertentangan dengan ajaran Islam.-Themalaysianinsider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan