Sabtu, 18 Februari 2012

DAP kecewa RCI Sabah gagal dibentuk

"Adakah ini merupakan satu lagi bukti bahawa Kabinet sebenarnya mengikut telunjuk Umno?," soal Lim Kit Siang.



PETALING JAYA: DAP kecewa dengan kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI – Royal Commission of Inquiry) bagi menangani isu pendatang tanpa izin (Pati) di Sabah ketika lawatannya baru- baru ini.

Penasihat parti Lim Kit Siang berkata, rakyat Sabah dan Malaysia difahamkan bahawa Kabinet telah meluluskan penubuhan RCI tentang Pati di Sabah dan menjangkakan Najib akan membuat pengumuman itu ketika lawatannya ke Sabah.

“Rakyat ingin tahu kenapa Najib gagal menangani isu ini dan sama ada dakwaan menteri-menteri di Sabah bahawa Kabinet hanya membuat janji kosong tanpa ada asas yang kukuh.

“Adakah ini merupakan satu lagi bukti bahawa Kabinet sebenarnya mengikut telunjuk Umno?,” soal Lim dalam blognya hari ini.

Ujar beliau, “beberapa dekad telah berlalu, saya secara peribadi menimbulkan isu Pati di Sabah, sehingga mendatangkan masalah politik, ekonomi, sosial dan keselamatan kepada penduduk Sabah.

“Kehadiran Pati tanpa kawalan ini mengakibatkan rakyat Sabah merasa terasing di negeri sendiri kerana jumlah Pati yang terlalu ramai sehingga mengatasi jumlah penduduk tempatan,” katanya.

Menurut Lim, sejurus selepas pilihan raya rumum 2008, beliau telah membawa usul dalam persidangan pertama Parlimen untuk memenuhi aspirasi rakyat Sabah untuk menubuhkan RCI tetapi usaha ini telah dihalang dan Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah enggan menyokong usul ini.

“Saya mengharapkan akhirnya RCI berjaya dibentuk untuk menangani isu Pati di Sabah dan juga seluruh Malaysia tetapi jangkaan saya ternyata meleset,” katanya.

Tiada ulasan: